Kehidupan baru menanti remaja ini yang fasih bertutur 16 bahasa
Jarang sekali melihat daya tarikan baru di kompleks kuil bersejarah Angkor. Namun seorang remaja lelaki tiba-tiba menjadi selebriti online selepas mencuri hati netizen kerana berupaya bertutur dalam pelbagai bahasa.

Pada usia 14 tahun, Thuch Salik sudah fasih bertutur pelbagai bahasa. (Gambar-Gambar: Jack Board)
SIEM REAP: Jarang sekali melihat daya tarikan baru di kompleks kuil bersejarah Angkor. Namun seorang remaja lelaki tiba-tiba menjadi selebriti online selepas mencuri hati netizen kerana berupaya bertutur dalam pelbagai bahasa.
Meskipun hanya berusia 14 tahun, Thuch Salik fasih bertutur dalam 16 bahasa. Beliau menjadi popular selepas seorang pengunjung rakyat Malaysia memuat naik video perbualannya dengan remaja berkenaan di laman Facebooknya.
Video itu menjadi viral di merata Kemboja dan sebahagian besar Asia.

Salik merupakan salah seorang daripada sejumlah besar kanak-kanak yang menjual cenderamata di pintu masuk dan keluar kuil-kuil popular di negara itu. Antara barangan yang dijualnya termasuk magnet peti ais dan poskad.
Oleh kerana mereka sering berinteraksi dengan para pelancong, tidak hairanlah mereka dapat belajar beberapa perkataan dan bahasa yang digunakan para pelancong terutamanya mereka yang datang dari China, Korea dan Eropah.
Salik bagaimanapun menjadikannya satu cabaran linguistik, dengan mengagumkan para pengunjung dengan keupayaannya bertutur dalam pelbagai bahasa yang dipelajarinya sendiri. Ini termasuk bahasa Rusia, Tagalog, Jepun, Vietnam, Itali, Jerman dan tiga loghat Cina.
"Saya mula berjualan pada usia 11 tahun dan sekarang, saya sudahpun melakukannya selama tiga tahun. Pada mulanya, saya cuma tahu satu bahasa sahaja," kata Salik ketika mengongsi popularitinya dengan Mediacorp.
Hasil pendapatan yang diperolehinya diberikan kepada ibunya, yang menggunakan wang tersebut bagi membiayai pendidikan Salik dan adik beradiknya serta keperluan harian keluarga tersebut.
Rumah mereka yang terletak beberapa ratus meter dari daerah Ta Phrom kelihatan biasa sahaja. Keluarga itu pula bergelut dengan beban hutang.
Ibunya, Mann Vanna, yang menemani Salik dan adik lelakinya Tithya ke Ta Prohm setiap hari untuk menjual cenderamata berkata pada awalnya, beliau tidak percaya berita mengenai populariti anaknya.
Beliau menyifatkan anaknya sebagai seorang yang baik hati dan sungguh berminat untuk belajar. Salik juga tidak pernah sesekalipun mengadu harus memakai pakaian lama atau terpaksa mengayuh basikal ke sekolah yang terletak jauh daripada rumah mereka, atau tidak mempunyai makanan yang mencukupi.

CITA-CITA DAN IMPIAN MASA HADAPAN
Nampaknya, kehidupan keluarga itu akan berubah. Ahli-ahli niaga dan badan-badan amal sudahpun mengikrarkan beribu-ribu dolar, serta mendermakan basikal-basikal dan mainan-mainan baru, dan juga berikrar untuk membiayai pendidikan Salik sehingga ke peringkat universiti. Keluarga itu juga disebut-sebut akan diundang untuk melawat Hong Kong.
Dengan itu, Salik mungkin tidak perlu lagi menjual cenderamata di pekarangan kuil. Dengan jaminan kewangan yang lebih baik, beliau kini lebih komited untuk terus meningkatkan kemahiran bahasanya dan pendidikan am.
"Saya mungkin tidak akan membenarkan Salik untuk berjualan lagi," kata ibunya. "Jika beliau ada masa lapang, beliau boleh membantu saya. Jika tidak, saya akan menggalak beliau supaya menumpukan perhatian kepada pelajarannya kerana saya mahu anak saya berpendidikan, tidak seperti saya."
Setelah tamat sekolah nanti, Salik bercita-cita untuk menjadi seorang pemandu pelancong iaitu satu aspirasi yang dekat dengan rumah dan hatinya. Ini supaya beliau dapat meneroka dan mengunjungi negara-negara lain.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.