Kehadiran kapal layar bernilai AS$45 juta kejutkan warga Kuala Perlis
(Gambar: Agensi berita)
KANGAR: Nelayan dan penduduk yang berada di sekitar Kuala Perlis terkejut dengan kehadiran sebuah kapal layar mewah berbentuk seperti sebuah kapal angkasa yang menelusuri muara Sungai Perlis pada Sabtu (13 Ogos), lapor Sinar Harian.
Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Perlis (Pelaris) Jasni Hashim berkata, walau bagaimanapun kehadiran kapal layar mewah jenis Adastra sekitar pukul 12.00 tengah hari itu tidak mengganggu aktiviti nelayan yang berada di sepanjang muara sungai berkenaan.
Menurutnya, muara sungai itu sememangnya menjadi laluan pelbagai jenis bot dan kapal namun kehadiran kapal layar mewah yang difahamkan bernilai sekitar AS$45 juta (S$61 juta) adalah sesuatu yang berlaku buat pertama kali dan dilihat oleh penduduk setempat.
"Kehadiran kapal mewah itu seperti bentuk sebuah kapal angkasa memang mengejutkan penduduk dan nelayan yang berada di sekitar kawasan tersebut.
"Difahamkan kapal ini datang dari luar negara dan kita tidak pasti dari negara mana.
"Kapal layar ini bergerak melalui muara Sungai Perlis dan menuju ke dermaga Perlis Marine Engineering (PME) Sdn Bhd bagi tujuan membaiki kapal tersebut," katanya semasa dihubungi Sinar Harian pada Ahad (14 Ogos).
Encik Jasni berkata, kapal yang mempunyai dua lunjuran besar di sebelah kiri dan kanannya itu juga difahamkan sudah mendapat kebenaran daripada Jabatan Laut Malaysia untuk melalui muara sungai itu sebelum berlabuh di PME Engineering Sdn Bhd di Kampung Tengah, Kuala Perlis.
Menurutnya lagi, tiada aduan yang diterima daripada para nelayan berhubung gangguan lalu lintas disebabkan oleh kehadiran kapal layar mewah itu, lapor Sinar Harian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.