Keganasan tercetus dekat kuil M'sia; 7 ditahan
Polis memberi jaminan akan melakukan siasatan agresif dan menangkap mereka yang terlibat dalam insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ25, yang menyaksikan tujuh lelaki sudah ditahan setakat jam 12.00 tengah hari ini (26 Nov).
SUBANG JAYA: Polis memberi jaminan akan melakukan siasatan agresif dan menangkap mereka yang terlibat dalam insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ25, yang menyaksikan tujuh lelaki sudah ditahan setakat jam 12.00 tengah hari ini (26 Nov).
Kesemua yang ditahan berusia lingkungan 30-an.
Selain memberi amaran supaya semua pihak mematuhi undang-undang dan tidak mengambil tindakan undang-undang sendiri, Ketua Polis Selangor Encik Mazlan Mansor meminta semua pihak bertenang bagi membolehkan polis meneruskan siasatan.
“Siasatan sedang dibuat secara agresif dan tangkapan akan dibuat,” katanya tegas, dan menambah kata bahawa siasatan melibatkan perbuatan khianat dan merusuh.
Bercakap di sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, beliau berkata dua individu ditahan ketika mendapatkan rawatan di Hospital Serdang pagi ini (26 Nov) akibat tercedera dalam kejadian sekitar jam 2.00 pagi ini (26 Nov).
"Sebanyak 18 buah kereta pelbagai jenis dan dua buah motosikal turut dibakar dalam kejadian tadi, sebuah kereta peronda polis turut musnah akibat dibaling batu oleh para perusuh," katanya di sidang media, yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Mohammad Azlin Sadari.
Menurut Encik Mazlan keadaan di kawasan sekitar kuil itu kini sudah kembali tenang dan sekitar 700 anggota polis terdiri dari Unit Simpanan Persekutuan dan beberapa unit lagi mengawal di sana," katanya.
Jalan ke kuil berkenaan ditutup manakala polis trafik membuat kawalan di jalan sekitar kawasan itu bagi membantu melancarkan aliran trafik selepas berlaku kesesakan pada waktu puncak pagi ini (26 Nov).
Menjelaskan butiran insiden berkenaan, Encik Mazlan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada kira-kira jam 2.45 pagi dan mengarahkan sebuah unit peronda untuk meninjau keadaan.
Namun, kereta peronda itu sudah dibaling batu menyebabkan anggota polis berkenaan meminta pasukan bantuan dihantar ke lokasi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.