Keganasan di kuil M'sia: Rakyat digesa tenang, tidak buat spekulasi
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari meminta semua pihak bertenang serta tidak mengeluarkan sebarang kenyataan bersifat perkauman, kebencian dan menghasut berhubung kekecohan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights awal pagi tadi (26 Nov).
Keadaan selepas berlaku keganasan. (Gambar: BERNAMA)
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Amirudin Shari meminta semua pihak bertenang serta tidak mengeluarkan sebarang kenyataan bersifat perkauman, kebencian dan menghasut berhubung kekecohan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights awal pagi tadi (26 Nov).
Berdasarkan kenyataan Ketua Polis Selangor Mazlan Mansor, kekecohan tercetus akibat pertembungan dan perselisihan faham antara dua kumpulan dan tidak membabitkan unsur perkauman.
“Saya sudah menghubungi Ketua Polis Selangor Mazlan Mansor dan beliau memberi jaminan pihak polis akan melakukan siasatan terperinci atas insiden yang berlaku. Kerajaan negeri yakin pihak polis akan melaksanakan siasatan yang menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya.
"Saya mengecam sebarang tindakan biadap yang melampaui batas undang-undang sekali gus mencetuskan keresahan penduduk setempat dan rakyat negeri Selangor,” katanya.
Encik Amirudin berkata kerajaan Selangor tidak akan bertolak ansur dengan sebarang anasir yang ingin menggugat ketenteraman dan keamanan negeri itu.
Sehingga kini, tujuh lelaki berusia dalam lingkungan 30-an ditahan polis berhubung kekecohan yang dikatakan berpunca daripada perselisihan antara dua kumpulan hingga menyebabkan 18 kereta pelbagai jenis dan dua motosikal terbakar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P. Waytha Moorthy turut menggesa supaya semua pihak bertenang susuli kekecohan yang berlaku itu.
“YB Menteri membangkitkan keprihatinan masyarakat terhadap rusuhan yang menjadi ancaman terhadap keamanan dan ketenteraman masyarakat pelbagai bangsa dan agama serta mengancam kebebasan agama,” demikian menurut kenyataan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Encik Waytha Moorthy turut melahirkan kebimbangan berhubung pelbagai sebaran berita tidak benar berhubung kejadian itu, yang boleh menimbulkan ketegangan emosi dalam kalangan masyarakat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.