Skip to main content

Dunia

Keganasan di Gaza berterusan meskipun wujud gencatan senjata: Penguasa Palestin

Pusat Komunikasi Pemerintah Palestin menyifatkan keadaan di Carikan Gaza di bawah gencatan senjata sebagai "pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di bawah nama berbeza", dengan rakyat Palestin terus terbunuh, kehilangan tempat tinggal dan dinafikan bantuan kemanusiaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Keganasan di Gaza berterusan meskipun wujud gencatan senjata: Penguasa Palestin

Pusat Komunikasi Pemerintah Palestin menyatakan serangan tentera Israel, korban awam dan sekatan terhadap bantuan kemanusiaan terus memburukkan krisis di Carikan Gaza. (Gambar fail: REUTERS)

Diterbitkan : 04 Aug 2026 08:38PM
  • Pusat Komunikasi Pemerintah Palestin melaporkan serangan tentera Israel di Gaza berterusan walaupun gencatan senjata, menyebabkan kematian, kehilangan tempat tinggal dan kekurangan bantuan kemanusiaan.
  • Serangan udara menyasarkan kawasan seperti Al-Mawasi, Al-Bureij dan Al-Rimal, memusnahkan prasarana penting termasuk gudang perubatan serta menjejaskan sistem kesihatan.
  • Di Tebing Barat, serangan peneroka haram Israel dan sekatan pergerakan semakin meningkat, mengakibatkan kematian, kecederaan, pemindahan paksa dan kerosakan sektor pertanian.
  • Laporan menyatakan lebih 73,000 rakyat Palestin terbunuh sejak Oktober 2023, dengan kerugian besar kepada sektor pertanian dan keselamatan makanan turut terjejas.
Dijana oleh AI
KUALA LUMPUR: Pusat Komunikasi Pemerintah Palestin menyifatkan keadaan di Carikan Gaza di bawah gencatan senjata sebagai "pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di bawah nama berbeza", dengan rakyat Palestin terus terbunuh, kehilangan tempat tinggal dan dinafikan bantuan kemanusiaan.

Dalam laporan situasi mingguan bagi tempoh 27 Julai hingga 3 Ogos, pusat yang beroperasi di bawah Pejabat Perdana Menteri Palestin itu menyatakan serangan tentera Israel masih berterusan meskipun gencatan senjata dilaksanakan.

Laporan itu memetik pertubuhan Doctors Without Borders (MSF) yang menyifatkan keadaan tersebut sebagai "keganasan struktur di bawah nama yang berbeza".

Menurut laporan tersebut, serangan tentera yang berterusan, korban awam, sekatan terhadap akses kemanusiaan dan kemusnahan prasarana penting, terus memburukkan krisis kemanusiaan di Carikan Gaza.

Sekatan terhadap kemasukan bekalan kemanusiaan turut menjejas usaha menyampaikan bantuan yang diperlukan sedang bekalan semakin berkurangan dan khidmat penting terjejas.

SERANGAN UDARA, SISTEM KESIHATAN TERJEJAS

Menurut laporan itu, serangan udara Israel menyasarkan beberapa lokasi termasuk Al-Mawasi, Al-Bureij dan Al-Rimal, mengorbankan tiga rakyat Palestin, termasuk dua kanak-kanak, serta mencederakan beberapa yang lain.

Serangan lain di Gaza City dan Jabalia pula mengorbankan dua rakyat Palestin dan mencederakan 10 yang lain.

Satu serangan udara Israel turut memusnahkan sebuah gudang perubatan berhampiran Hospital Syahid Al-Aqsa di Deir al-Balah.

Menurut laporan tersebut, serangan itu memusnahkan bekalan perubatan penting dan merosakkan khemah berhampiran yang menempatkan penduduk Palestin yang kehilangan tempat berteduh.

Kementerian Kesihatan Palestin memberi amaran bahawa serangan berulang terhadap hospital dan kemudahan kesihatan, di samping kekurangan ubat-ubatan, peralatan dan bahan api, terus memberikan tekanan kepada sistem jagaan kesihatan Gaza.

Sekatan terhadap bekalan perubatan dan kemanusiaan serta halangan yang dihadapi pesakit, ambulans dan pekerja jagaan kesihatan turut menjejas keupayaan sistem itu menangani jumlah korban yang semakin meningkat.

Menurut laporan tersebut, sekurang-kurangnya 73,375 rakyat Palestin terbunuh sejak Oktober 2023, termasuk 21,638 kanak-kanak.

Lebih 1,700 pekerja kesihatan serta 262 wartawan dan pekerja media turut dilaporkan terbunuh.

Sekurang-kurangnya 174,220 rakyat Palestin cedera manakala 11,200 lagi masih hilang.

SERANGAN PENEROKA HARAM ISRAEL MENINGKAT

Sementara itu, Pusat Komunikasi Pemerintah Palestin menyatakan serangan peneroka haram Israel dan sekatan pergerakan terus meningkat di Tebing Barat yang diduduki.

Memetik Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR), laporan itu menyatakan purata sekitar 190 serangan peneroka dicatatkan setiap bulan dalam tempoh empat bulan pertama 2026.

Jika kadar tersebut berterusan, Tebing Barat dijangka mencatatkan lebih 2,000 serangan menjelang akhir tahun.

Serangan tersebut menyebabkan kematian, kecederaan dan kemusnahan harta benda, manakala hampir 700 rakyat Palestin daripada sembilan kumpulan masyarakat dilaporkan dipindahkan secara paksa dalam tempoh berkenaan.

Laporan itu turut mencatatkan 133 serangan peneroka di seluruh Tebing Barat, termasuk Baitulmakdis yang diduduki, antara 27 Julai hingga 2 Ogos.

Menurut laporan tersebut, tentera dan peneroka Israel turut meningkatkan serangan terhadap sektor pertanian dengan mencabut dan membakar ribuan batang pokok, merosakkan tanaman, sistem pengairan serta rangkaian air, selain mencuri ternakan dan menghalang petani daripada memasuki kawasan tanah mereka.

Kementerian Pertanian Palestin menganggarkan kerugian langsung sektor pertanian berjumlah sekurang-kurangnya AS$3.73 juta (S$4.82 juta).

Ia memberi amaran bahawa serangan tersebut menjejas mata pencarian penduduk serta keselamatan makanan.

925 pusat pemeriksaan tentera Israel, pintu pagar dan halangan pergerakan lain turut direkodkan di seluruh Tebing Barat setakat Mac, menurut laporan itu.
Sumber : Bernama/FD/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita