Keganasan baru berlaku tidak jauh dari kuil di One City Mall; 21 orang ditahan berkaitan kekecohan kuil
Kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman USJ 25, Putra Heights menyaksikan jumlah penangkapan meningkat kepada 21 individu sejauh ini, berbanding 17 orang semalam (26 Nov).
SHAH ALAM: Kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman USJ 25, Putra Heights menyaksikan jumlah penangkapan meningkat kepada 21 individu sejauh ini, berbanding 17 orang semalam (26 Nov).
Ketua Polis Selangor Mazlan Mansor berkata, penangkapan terbaru menyaksikan dua lelaki ditahan lewat petang semalam (26 Nov) manakala dua lelaki lagi ditahan awal pagi tadi (27 Nov). Kesemua suspek ditahan di sekitar kawasan kuil berkenaan.
“Dua suspek yang ditahan pagi tadi ditahan bersama senjata parang yang ditemui di dalam kenderaan yang mereka naiki. Kesemua suspek yang ditahan akan direman dari semasa ke semasa bermula hari ini,” katanya.
Menurut Encik Mazlan, dalam rusuhan yang tercetus awal pagi tadi (27 Nov), seorang anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dari Balai Subang Jaya mengalami kecederaan selepas diserang ketika sedang memadamkan kebakaran melibatkan sebuah kenderaan di luar kawasan kuil berkenaan.
Beliau berkata, sehingga hari ini (27 Nov) juga, sebanyak 23 kenderaan dibakar dan sebuah jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat dirosakkan oleh kumpulan perusuh.
KRONOLOGI HARI KEDUA KEGANASAN
Menceritakan mengenai kronologi kekecohan terbaru yang berlaku di kuil itu, Encik Mazlan berkata pada jam 10.57 malam tadi (26 Nov), dua buah kenderaan dibakar berhampiran kuil dan pada 1.10 pagi sebuah kenderaan lain ditarik keluar dari kawasan kuil serta dibakar di tepi jalan raya.
“Sejurus selepas itu pada 1.20 pagi sebuah kenderaan lain turut dikeluarkan dari kawasan kuil serta dibakar. Dalam keadaan itu, seorang anggota JBPM yang sedang memadam kebakaran mengalami kecederaan akibat diserang dan beliau kini sedang dirawat di hospital.
“Sejurus selepas kejadian di kuil pada 2.00 pagi, kira-kira satu kilometer dari lokasi kuil iaitu di One City Mall, kumpulan ini memecahkan cermin-cermin di bangunan itu, rosakkan sebuah bas, sebuah kereta dan sebuah van yang selepas itu dibakar, selain sebuah motosikal dan beberapa peralatan di bilik pameran di pusat membeli belah itu turut dirosakkan,” katanya.
Tiada yang diberkas berkaitan kekecohan yang berlaku di One City Mall, namun polis akan mencari individu bertanggungjawab secepat mungkin berdasarkan maklumat yang diterima.
Encik Mazlan berkata pihaknya juga mempunyai petunjuk mengenai dalang kekecohan itu, namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.