Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kedutaan AS di Baitulmakdis siap dibuka pada Mei

Amerika Syarikat menyatakan semalam (23 Feb) kedutaannya di Baitulmakdis akan dibuka pada Mei ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Kedutaan AS di Baitulmakdis siap dibuka pada Mei

Gambar: Ammar Awad/REUTERS

Diterbitkan : 24 Feb 2018 09:03AM Dikemas Kini : 24 Feb 2018 09:09AM

WASHINGTON: Amerika Syarikat menyatakan semalam (23 Feb) kedutaannya di Baitulmakdis akan dibuka pada Mei ini. Langkah untuk memindahkan kedutaan itu dari Tel Aviv mengubah dasar Washington sejak berdekad lama dan pastinya mengecewakan negara-negara sekutu Amerika yang sudahpun membantahnya.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan Disember lalu bahawa negaranya mengiktiraf Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel sekaligus mencetuskan kemarahan negara-negara sekutu Arab Washington. Palestin mahu bahagian timur bandar tersebut sebagai ibu kotanya.

Tidak ada sebarang negara sebelum ini yang mengiktiraf Baitulmakdis sebagai ibu kota Israel dan keputusan Presiden Trump itu menimbulkan perbalahan antara Amerika Syarikat dengan Kesatuan Eropah berhubung usaha mewujudkan keamanan di Timur Tengah.

“Kami ghairah untuk mengambil langkah bersejarah ini dan menantikan pembukaannya pada Mei ini dengan penuh harapan,” kata jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat Heather Nauert sambil menarik perhatian bahawa pembukaannya selari dengan sambutan ulang tahun ke-70 kemerdekaan Israel.

Kedutaan di Baitulmakdis itu akan diperluaskan sedikit demi sedikit di bangunan sedia ada di kejiranan Arnona sementara kerja-kerja mencari tapak tetap untuk membina pejabat kedutaan rasmi yang disifatkan Cik Nauert sebagai “usaha jangka panjang” sudahpun dimulakan.

Kedutaan sementara itu akan mempunyai ruang pejabat bagi duta AS di Israel dan beberapa kakitangan. Menjelang penghujung 2019, sebuah bangunan kedutaan baru di kompleks Arnona akan dibuka, kata Cik Nauert dalam satu kenyataan.

Pejabat konsulat di Timur Baitulmakdis akan terus dibuka untuk menguruskan keperluan para penduduk Palestin, Atas sebab-sebab keselamatan Duta AS di Israel David Friedman akan terus menetap di kediamannya di Herzliya di bahagian utara Tel Aviv.

Tarikh pembukaan kedutaan pada Mei ini adalah lebih cepat daripada tarikh jangkaan. Naib Presiden Amerika Syarikat Mike Pence memberitahu parlimen Israel bulan lalu bahawa pejabat kedutaan yang menimbulkan kontroversi itu akan dibuka menjelang hujung tahun 2019.

Para penduduk Palestin meluahkan kemarahan susulan laporan tersebut.

“Ini adalah langkah yang tidak boleh diterima. Apa jua tindakan sehala tidak memberikan hak kepada sesiapa dan menjadi halangan kepada usaha mewujudkan keamanan di rantau ini,” kata Encik Nabil Abu Rdainah, jurucakap Presiden Palestin Mahmoud Abbas yang kini sedang berada di Amerika Syarikat.

Satu sumber pemerintah Israel menyatakan bahawa Perdana Menteri Benjamin Netanyahu yang dijadual mengadakan lawatan ke Rumah Putih pada 5 Mac ini sedang berhubungan dengan pentadbiran Presiden Trump dan akan memberi respons apabila Amerika Syarikat membuat pengumuman.   

Sumber : Reuters/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan