Kedai roti di Lubnan ditutup angkara kurang tepung

(Gambar: AFP)
BEIRUT: Lebih banyak kedai roti di selatan Lubnan akan menggantung perniagaan pada Selasa (12 April) di tengah-tengah masalah kekurangan tepung gandum, menurut ketua Sindiket Pemilik Kedai Roti di Lubnan Selatan pada Isnin (11 April).
"Sebilangan besar kedai roti hentikan kerja hari ini dan lebih banyak lagi akan turut melakukannya esok kerana mereka tidak ada lagi tepung dan oleh itu tidak dapat menjamin bekalan roti bagi rakyat," kata Zakaria Al-Arabi Al-Qudsi seperti dinukil laman berita Elnashra, menurut Xinhua.
Menteri Kewangan Lubnan mengumumkan bulan lalu bahawa konflik Ukraine-Rusia menjejaskan akses negara itu kepada gandum. Tambahnya, beliau sedang berusaha mendapatkan sumber lain bagi komoditi itu tetapi harus menantikan dana daripada bank pusat.
Lubnan sedang bergelut dengan krisis kewangan yang tidak pernah berlaku sebelum ini disebabkan kekurangan mata wang Amerika Syarikat yang menghalang keupayaan negara itu untuk mengimport keperluan makanan asasnya.
Krisis itu diburukkan lagi dengan konflik Ukraine-Rusia dengan Lubnan mengimport sebahagian besar gandumnya dari kedua-dua negara tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.