Kedai emas kerugian $65,000 akibat dirompak
Sebuah kedai emas yang beroperasi di dalam sebuah pasar raya di Alor Mengkudu mengalami kerugian kira-kira RM200,000 (S$65,280) setelah dirompak seorang lelaki bertopi keledar pada Selasa (3 Dis).
(Gambar: Agensi berita)
ALOR SETAR: Sebuah kedai emas yang beroperasi di dalam sebuah pasar raya di Alor Mengkudu mengalami kerugian kira-kira RM200,000 (S$65,280) setelah dirompak seorang lelaki bertopi keledar pada Isnin (2 Dis).
Menurut Ketua Polis Kedah Zainuddin Yaacob, suspek yang dipercayai bersenjatakan senjata api menggunakan kapak untuk memecahkan meja pameran kaca di kedai itu dan melarikan lima dulang barangan kemas, dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira pukul 7.30 malam.
"Kelihatan macam suspek bawa senjata api, tetapi tiada tembakan dilepaskan. Kita tidak dapat kenal pasti (identitinya) kerana dia pakai topi (keledar) dengan penutup muka berwarna hitam serta memakai jaket.
"Namun, kita cuba mengesan suspek melalui pasukan petugas untuk mencari maklumat bagi mengesan suspek daripada petunjuk-petunjuk yang kita dapat di tempat kejadian," katanya.
Mengulas lanjut, Encik Zainuddin berkata siasatan awal pihaknya mendapati suspek melakukan rompakan itu secara berseorangan berdasarkan kenyataan saksi yang melihat kejadian itu. Suspek juga didapati menggunakan kereta model Proton Wira bernombor plat palsu.
Encik Zainuddin juga berkata kedai itu didapati tidak memasang jeriji besi pada meja pameran kaca itu sekali gus memudahkan perompak memecahkan meja dan membawa lari barangan kemas.
“Jeriji besi ini boleh melengahkan penjenayah, tetapi jika tidak dipasang memang memudahkan penjenayah melakukan jenayah ini,” katanya yang turut menambah bahawa kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan (kerana merompak bersenjata).
Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung sebarang urus niaga barangan kemas yang luar biasa dan mencurigakan supaya tampil memberikan maklumat berkenaan kepada pihak polis bagi siasatan.
Sebelum ini, rakaman video yang dikatakan berkaitan kejadian itu tular di media sosial yang menunjukkan seorang lelaki bertopi keledar mengeluarkan kapak lalu memecahkan meja pameran di kedai berkenaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.