Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kecoh apabila ahli politik puji dasar 'Australia Putih', gesa pengharaman Muslim

Seorang ahli politik Australia menerima kecaman meluas pada Rabu (15 Ogos) selepas menuntut "satu penyelesaian muktamad" terhadap imigresen dan menyeru negara itu kembali ke dasar Australia Putih yang mengutamakan "Warga Kristian Eropah".

Anggaran Waktu Membaca:
Kecoh apabila ahli politik puji dasar 'Australia Putih', gesa pengharaman Muslim

(Gambar fail: AFP)

Diterbitkan : 15 Aug 2018 01:51PM Dikemas Kini : 15 Aug 2018 01:54PM

SYDNEY: Seorang ahli politik Australia menerima kecaman meluas pada Rabu (15 Ogos) selepas menuntut "satu penyelesaian muktamad" terhadap imigresen dan menyeru negara itu kembali ke dasar Australia Putih yang mengutamakan "Warga Kristian Eropah".

Senator Queensland Fraser Anning mengejutkan para penggubal undang-undang semasa membuat ucapan sulungnya dengan menukil frasa Nazi itu yang digunakan Adolf Hitler semasa merujuk kepada penghapusan orang Yahudi dari Eropah.

Beliau juga mencetuskan tentangan meluas dengan menggesa larangan ke atas pendatang Muslim dan mempertahankan dasar imigresen Australia Putih yang berkuatkuasa selama tujuh dekad sejak 1901.

"Kami sebagai sebuah negara berhak untuk menegaskan bahawa mereka yang dibenarkan datang ke sini mencerminkan komposisi bersejarah masyarakat Eropah-Kristian di Australia," kata Encik Anning, yang sebelum ini merupakan anggota parti populis Parti Satu Negara dan kini anggota Parti Katter Australia.

"Mereka yang datang ke sini perlu berintegrasi."

Beliau menambah bahawa "kepelbagaian budaya ... dibenarkan meluas ke tahap berbahaya di banyak bahagian pinggir bandar".

Warga Queensland itu juga menyeru supaya bilangan pendatang dikurangkan dan larangan dikuatkuasakan ke atas orang Muslim dengan mengatakan bahawa mereka "secara konsisten menunjukkan mereka paling kurang berintegrasi".

"Walaupun semua orang Islam bukan pengganas, pastinya semua pengganas hari ini adalah orang Islam, jadi mengapa ada orang yang ingin membawa lebih ramai golongan mereka ke sini?"

Imigresen masih menjadi isu sensitif di Australia, di tengah-tengah kebimbangan mengenai pekerjaan dan kesesakan di bandar-bandar utama.

Data yang dikeluarkan bulan lepas menunjukkan angka penghijrahan berada pada tahap paling rendah dalam masa 10 tahun, dengan jumlah tahunan jatuh sebanyak 20,000 kepada 162,000 kerana prosedur pemeriksaan diperketatkan.

Komen-komen Encik Anning mencetuskan tindak balas dari semua pihak politik yang dipimpin oleh Perdana Menteri Malcolm Turnbull yang menekankan Australia adalah salah satu masyarakat berbilang budaya yang paling berjaya di dunia.

"Kita menolak, kita mengutuk perkauman dalam apa jua bentuk, dan kenyataan oleh Senator Anning dikecam dan ditolak oleh kita semua," kata Encik Turnbull.

Meskipun dikritik, Encik Anning tidak berasa bersalah dan mendakwa tidak mengetahui kaitan antara frasa "penyelesaian muktamad" dengan Nazi Jerman.

"Saya tidak kesal apa-apa, saya tidak akan memohon maaf atau menyesal apa yang saya katakan," katanya.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan