AS kecam serangan maut tentera Myanmar di Kayah
Amerika Syarikat (AS) pada Selasa (28 Dis) mengecam serangan tentera Myanmar di negeri Kayah yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 35 orang terbunuh pada Jumaat lalu.
Asap dan kebakaran daripada kenderaan di Hpruso, wilayah Kayah, Myanmar pada 24 Dis. (Gambar: KNDF melalui AP)
WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) pada Selasa (28 Dis) mengecam serangan tentera Myanmar di negeri Kayah yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 35 orang terbunuh pada Jumaat lalu.
Mangsa serangan termasuk wanita dan kanak-kanak serta dua kakitangan pertubuhan bantuan antarabangsa ‘Save the Children’, lapor Agensi Anadolu (AA).
"Kami khuatir dengan kekejaman rejim tentera di Burma (Myanmar), termasuk serangan terbaru di Kayah dan Karen," kata Setiausaha Negara AS Antony Blinken dalam satu kenyataan.
“Serangan menyasarkan orang tidak bersalah dan mereka yang terlibat dalam misi kemanusiaan adalah suatu yang tidak boleh diterima, menunjukkan pihak tentera bertanggungjawab bagi kejadian serangan itu,” kata diplomat tertinggi tersebut.
Encik Blinken menggesa masyarakat antarabangsa melakukan lebih banyak bagi mencegah kekejaman di Myanmar daripada berulang, termasuk menghentikan penjualan senjata dan teknologi dwiguna kepada tentera.
Tentera Myanmar yang dikenali sebagai Tatmadaw, melancarkan rampasan kuasa pada 1 Februari lalu dan menangkap pemimpin Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) yang diketuai pemenang Hadiah Nobel Aung San Suu Kyi. Cik Suu Kyi dijatuhi hukuman penjara empat tahun pada awal bulan ini.
Lebih 1,000 orang terbunuh manakala lebih 5,400 yang lain ditangkap pasukan junta dan kebanyakannya sudahpun dibebaskan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.