Skip to main content

Dunia

Kebocoran minyak kapal tangki terkandas dekat Oman cetus kebimbangan bencana alam sekitar

Anggaran Waktu Membaca:
Kebocoran minyak kapal tangki terkandas dekat Oman cetus kebimbangan bencana alam sekitar

Imej satelit menunjukkan kesan yang dipercayai tumpahan minyak daripada sebuah kapal yang terkandas lebih sebulan dekat Pulau Al-Qibliyyah, di luar pantai selatan Oman. (Gambar: Copernicus Sentinel Data 2026)

Diterbitkan : 06 Aug 2026 12:59PM
MUSCAT: Oman berdepan risiko bencana alam sekitar menyusuli kebocoran minyak daripada sebuah kapal tangki dekat sebuah hutan simpanan, menurut badan-badan bukan pemerintah (NGO).

Imej satelit yang disahkan AFP menunjukkan kesan yang dipercayai tumpahan minyak merebak daripada sebuah kapal yang terkandas lebih sebulan dekat Pulau Al-Qibliyyah, di luar pantai selatan Oman di Laut Arab.

Firma keselamatan maritim memberitahu AFP bahawa kapal tersebut sebelum ini dilanda beberapa letupan, namun punca letupan masih belum diketahui.

Greenpeace memberi amaran bahawa kebocoran yang dipercayai masih berterusan serta kedudukan kapal yang sukar dicapai meningkatkan risiko bencana alam sekitar lebih besar berlaku.

Nina Noelle dari Greenpeace berkata kejadian itu boleh membawa kesan serius dan berpanjangan.

KESAN TUMPAHAN MINYAK MELUAS KEPADA 600 KM PERSEGI

Menurut Greenpeace, kesan tumpahan minyak itu meluas daripada sehingga 20 kilometer persegi pada 24 Julai kepada kira-kira 600 kilometer persegi pada 4 Ogos, berdasarkan imej satelit yang ditelitinya.

Penyiasat alam sekitar sumber terbuka Wim Zwijnenburg dari pertubuhan keamanan Belanda PAX turut menganggarkan kesan tumpahan tersebut meliputi sekitar 600 kilometer persegi pada 4 Ogos.

Data Kpler menunjukkan Caroline Bezengi, yang dipercayai merupakan kapal yang mengalami kebocoran dekat Oman, membawa satu juta tong minyak mentah dari terminal Sheskharis di Laut Hitam, Rusia, pada 11 Mei.

Kapal itu dipercayai masih membawa muatan tersebut apabila isyarat terakhirnya direkodkan sebulan kemudian.

KAPAL DIPERCAYAI SEBAHAGIAN RANGKAIAN ELAK SEKATAN RUSIA

Caroline Bezengi dipercayai merupakan sebahagian daripada rangkaian kapal yang digunakan Rusia untuk mengangkut minyak melalui struktur pemilikan dan operasi yang sukar dijejaki bagi mengelakkan sekatan Barat.

Rangkaian kapal berkenaan, yang berkembang selepas Rusia menceroboh Ukraine pada 2022, disebut sebagai 'armada bayangan' (shadow fleet).

Pakar sebelum ini memberi amaran bahawa keadaan sebahagian kapal tersebut meningkatkan risiko kemalangan dan tumpahan minyak.

Kapal yang terkandas itu berada jauh dari Selat Hormuz, yang menyaksikan beberapa serangan terhadap kapal tangki semasa perang di Timur Tengah.
Sumber : AFP/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita