Kebimbangan mendalam berhubung China dibentangkan di majlis hak asasi PBB
Lebih daripada 40 negara yang diketuai Kanada menyuarakan kebimbangan yang mendalam di Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa (22 Jun) berhubung tindakan China di Xinjiang, Hong Kong dan Tibet - mencetuskan reaksi hebat dari Beijing.
Ketua hak asasi PBB Michelle Bachelet (Gambar: AFP/Fabrice COFFRINI)
GENEVA: Lebih daripada 40 negara yang diketuai Kanada menyuarakan kebimbangan yang mendalam di Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Selasa (22 Jun) berhubung tindakan China di Xinjiang, Hong Kong dan Tibet - mencetuskan reaksi hebat dari Beijing.
Kenyataan bersama yang dinanti-nantikan selama beberapa hari itu disampaikan pada hari kedua sesi ke-47 majlis di Geneva.
"Kami sangat prihatin dengan situasi hak asasi manusia di Wilayah Autonomi Xinjiang Uyghur," kata duta besar Kanada Leslie Norton.
Kenyataan itu, antara lain, disokong oleh Australia, Britain, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Sepanyol dan Amerika Syarikat.
Beijing mesti membenarkan ketua hak asasi PBB Michelle Bachelet dan pemerhati bebas yang lain "akses segera, bermakna dan tidak terhad" ke Xinjiang, dan menamatkan "penahanan sewenang-wenang" masyarakat Uyghur dan minoriti Muslim lain, tegasnya.
"Laporan yang dipercayai menunjukkan bahawa lebih sejuta orang telah ditahan dengan sewenang-wenangnya di Xinjiang dan terdapat pengawasan meluas terhadap masyarakat Uighur dan anggota minoriti lain serta sekatan terhadap kebebasan asasi dan budaya Uyghur," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memetik laporan berlakunya penyeksaan atau perlakuan kejam, hukuman tidak berperikemanusiaan dan menjatuhkan maruah, pemandulan secara paksa, kekerasan berdasarkan seksual dan jantina, dan anak-anak yang dipisahkan secara paksa daripada ibu bapa mereka.
Jumlah penandatangan bertambah daripada 22 duta yang menulis surat kepada Bachelet pada 2019 mengecam tindakan China terhadap orang Uighur.
China menafikan berlakunya penganiayaan terhadap masyarakat Uighur, yang merupakan kaum majoriti di tanah air nenek moyang mereka sehingga negara itu membantu kaum etnik Han China berhijrah ke sana.
Beijing menegaskan bahawa ia hanya menjalankan pusat latihan vokasional yang dirancang untuk mengatasi fahaman pelampau.
Cik Bachelet memberitahu majlis pada Isnin, beliau berharap akan dapat ke Xinjiang tahun ini dan diberi "akses yang bermakna".
Kenyataan pada Selasa itu sudah pasti akan mencetuskan kemarahan Beijing, yang menganggapnya sebagai campur tangan kuasa asing dalam urusan dalamannya.
Pengisytiharan bersama itu juga melahirkan kebimbangan tentang kebebasan asasi yang semakin merosot di Hong Kong dan situasi hak asasi manusia di Tibet.
Langkah itu dilakukan selepas lawatan luar negara pertama Presiden Amerika Syarikat Joe Biden, di mana beliau menghimpunkan suara G7 dan NATO menentang Beijing, dengan Washington mengenal pasti China sebagai cabaran global yang tertinggi.
CHINA MEMBALAS
Menyedari kewujudan kenyataan itu, China telah menjawabnya sebelum ia disampaikan.
Wakil Beijing membacakan kenyataan bagi pihak sekumpulan negara "yang sangat prihatin terhadap pelanggaran hak asasi manusia yang serius terhadap penduduk asli di Kanada".
Belarus, Iran, Korea Utara, Rusia, Sri Lanka, Syria dan Venezuela adalah antara penandatangan bersama, menurut PBB.
"Menurut sejarah, Kanada merompak tanah daripada penduduk asli, membunuh mereka, dan membasmi budaya mereka," menurut kenyataan itu.
Ini merujuk kepada penemuan 215 kubur tanpa tanda baru-baru ini di sebuah bekas sekolah asrama di Kanada barat - salah satu daripada banyak sekolah berasrama yang ditubuhkan satu abad yang lalu untuk menggabungkan penduduk asli Kanada secara paksa.
Wakil Belarus membaca satu lagi kenyataan bersama bagi pihak 64 negara, menyokong China dan menekankan bahawa Hong Kong, Xinjiang dan Tibet adalah urusan dalaman China.
Di Ottawa, Perdana Menteri Justin Trudeau menegaskan bahawa Kanada telah mengakui dan sedang berusaha untuk memperbaiki kesalahan terhadap penduduk pribumi.
"Di Kanada, kami mempunyai jawatankuasa kebenaran dan perdamaian," katanya kepada wartawan. "Di mana jawatankuasa kebenaran dan perdamaian China. Di mana kebenaran mereka?"
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.