Skip to main content

Dunia

Keberkecualian BBC dipersoal, isu berat sebelah diteliti

BBC sekali lagi berdepan perdebatan hangat mengenai peranannya sebagai penyiar yang dibiayai dana awam, di tengah-tengah tuduhan berat sebelah politik dan semakin banyak persoalan tentang kedudukannya dalam landskap media yang kian berpecah-belah pada Sabtu (15 Nov).
Anggaran Waktu Membaca:
Keberkecualian BBC dipersoal, isu berat sebelah diteliti
Logo BBC di luar BBC Broadcasting House kelihatan di London, Britain, pada 10 November 2025. (Gambar: REUTERS/Jack Taylor)
LONDON: BBC sekali lagi berdepan perdebatan hangat mengenai peranannya sebagai penyiar yang dibiayai dana awam, di tengah-tengah tuduhan berat sebelah politik dan semakin banyak persoalan tentang kedudukannya dalam landskap media yang kian berpecah-belah pada Sabtu (15 Nov).

Pertubuhan itu sejak sekian lama menjadi isu politik di Britain, menerima kritikan terhadap liputannya mengenai pelbagai perkara daripada perubahan iklim hingga ke Brexit. Namun penelitian terhadap syarikat itu bertambah selepas didedahkan bahawa sebuah dokumentari yang disiarkannya pada tahun lalu menyunting ucapan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dengan cara yang mengelirukan.

Encik Trump mengancam tindakan undang-undang terhadap program tersebut, yang disiarkan sebelum pilihan raya Amerika Syarikat dan meneliti mengapa para pengundi bersedia untuk memilih semula seorang pesalah yang sudah disabitkan kesalahannya.

Di Uxbridge, bekas kawasan pilihan raya mantan perdana menteri Boris Johnson, para penduduk menyuarakan pandangan bercampur-campur mengenai penyiar itu. Ada yang tetap setia kepada BBC namun mempersoalkan sama ada ia memenuhi tanggungjawab perkhidmatan awam dalam era media berpartisan.

Seorang pesara, Sandra Madden, berkata beliau tidak mahu BBC dimansuhkan tetapi percaya penyiar itu menunjukkan berat sebelah, merujuk kepada suntingan ucapan Encik Trump itu sebagai “perkara terakhir yang melampaui batas” dan bukti ia “terlalu berhaluan kiri”.

BBC kekal sebagai sumber berita paling popular di Britain, menurut perangkaan Ofcom.

KEYAKINAN AWAM DI BAWAH TEKANAN

Satu tinjauan YouGov pada minggu ini mendapati sekitar separuh daripada rakyat Britain mempunyai pandangan positif terhadap BBC, manakala 29 peratus lagi memegang pandangan negatif. 31 peratus daripada mereka yang ditinjau turut menyatakan bahawa penyiar itu terlalu berhaluan kiri, berbanding 19 peratus yang melihatnya terlalu berhaluan kanan.

Pengerusi BBC Samir Shah mempertahankan “tugas suci” pertubuhan itu untuk menegakkan sikap berkecuali dan melaporkan sesuatu dengan tepat, meskipun ia berdepan cabaran dalam melaporkan isu-isu yang memecah-belahkan seperti imigresen, hak transgender, Gaza dan kebangkitan haluan kanan.

Lee Edwards, profesor media dan komunikasi di London School of Economics, berkata BBC “dipersenjatakan” oleh pihak-pihak yang mahu menggambarkannya sebagai contoh di mana berlakunya keterlaluan ideologi.

Anggota-anggota parlimen konservatif memperhebatkan kritikan pada minggu ini, dengan Oliver Dowden menuduh BBC “terlalu taksub” dengan isu liberal dan bandar. Nigel Huddleston pula mengecam apa yang disifatkannya sebagai penekanan berlebihan terhadap “keterangkuman dan kepelbagaian”.

Ahli politik berpendirian sederhana menyangkal kritikan itu, dengan Anggota Parlimen Liberal Democrat Anna Sabine berhujah bahawa BBC memainkan peranan penting dalam mengekang “maklumat palsu yang berbahaya dan teori konspirasi yang disebarkan golongan populis seperti Donald Trump”.

PERANAN GLOBAL, KEGUSARAN TEMPATAN

Cabang antarabangsa BBC, World Service, mencapai lebih 318 juta pendengar setiap minggu dan masih dianggap sebagai sumber maklumat yang boleh dipercayai. Setiausaha Kebudayaan Lisa Nandy menggambarkannya sebagai satu “sumber panduan penting”.

Ramai rakyat Britain yang lebih berusia terus mempertahankan BBC, meskipun ada yang mengakui kesilapan baru-baru ini. Dua eksekutif kanan BBC meletak jawatan berikutan kontroversi suntingan ucapan Encik Trump.

Penulis Jennifer Kavanagh memberitahu AFP bahawa pertubuhan itu sentiasa diserang “dari kanan dan dari kiri”, sambil menambah bahawa keyakinan awam belum runtuh walaupun menerima kritikan.

Namun para penganalisis menekankan bahawa golongan muda semakin kerap mendapatkan berita melalui media sosial berbanding penyiar tradisional. Dan Hind, seorang penulis yang menumpukan perhatian kepada media dan demokrasi, berkata ramai yang “terkeluar daripada zon pengaruh BBC” akibat ketidakpercayaan yang meningkat dan kebergantungan pada wadah-wadah alternatif.

Sebilangan penonton turut beralih kepada pesaing berhaluan kanan seperti GB News, di mana ketua Reform UK Nigel Farage sering membuat kemunculan. Penduduk Uxbridge, Robin Scott, berkata beliau menonton GB News kerana “mereka membincangkan perkara yang anda tidak akan lihat di BBC”.

Encik Hind berkata BBC bergelut untuk bersaing dalam persekitaran di mana kandungan sensasi diberi ganjaran, sambil menegaskan ia “berusaha untuk kekal matang, seimbang dan tepat”, sementara idea politik ekstrem tersebar dengan pantas di platform yang kurang dikawal.

Sedang harapan terhadap BBC kekal tinggi, kontroversi seperti suntingan ucapan Encik Trump atau liputan mengenai perang Gaza membawa kesan terhadap “kelangsungan” pertubuhan itu, kata Cik Edwards dari LSE.
Sumber : AFP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita