Skip to main content

Dunia

"Kebenaran terbukti juga": Ahmad Zahid Hamidi

Anggaran Waktu Membaca:
"Kebenaran terbukti juga": Ahmad Zahid Hamidi

Timbalan Perdana Menteri Malaysia Dr Ahmad Zahid Hamidi. (Gambar fail: Bernama)

Diterbitkan : 09 Jan 2026 07:59AM Dikemas Kini : 09 Jan 2026 08:00AM
KUALA LUMPUR: Kebenaran terbukti juga, demikian reaksi Ahmad Zahid Hamidi selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan tiada tindakan lanjut (NFA) terhadap 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkait dana Yayasan Akalbudi.

Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO menerusi catatan di Facebook malam semalam (8 Jan), juga bersyukur dengan keputusan AGC itu.

"Syukur Alhamdulillah. Masa akhirnya menjawab segalanya, kebenaran terbukti jua," kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, lapor Berita Harian Malaysia.

Awal dari itu, AGC memaklumkan keputusan itu sekali gus membawa kepada penamatan kes terbabit, selaras kuasa serta budi bicara Peguam Negara di bawah Perlembagaan dan undang-undang berkaitan.

Pada Disember lalu, AGC dilapor menegaskan keputusan memohon melepas tanpa membebaskan (DNAA) Encik Ahmad Zahid daripada 47 tuduhan itu dibuat selaras peruntukan undang-undang.

Pada 4 September 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Encik Ahmad Zahid daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Collin Lawrence Sequerah yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan, membuat keputusan itu selepas pendakwaan memaklumkan AGC ingin memberhentikan prosiding terhadap Encik Ahmad Zahid, lapor Berita Harian Malaysia.

Mahkamah Tinggi turut dilapor memaklumkan bahawa siasatan yang masih berjalan dan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja, menjadi asas keputusannya ketika itu untuk menolak permohonan Encik Ahmad Zahid supaya dibebaskan sepenuhnya daripada 47 tuduhan berkenaan.

Pada Jun 2024, media melaporkan Mahkamah Tinggi menolak permohonan Badan Peguam mendapatkan kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Peguam Negara memberhentikan prosiding kes dihadapi Encik Ahmad Zahid membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Melalui permohonan pada 2 Disember 2023, Badan Peguam yang menamakan Peguam Negara serta Encik Ahmad Zahid selaku responden, memohon perintah supaya keputusan Peguam Negara yang memohon supaya Timbalan Perdana Menteri itu dilepas tanpa dibebaskan, dibatalkan.
Sumber : Agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita