Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kebenaran eksport ayam M'sia akan dipertimbang jika bekalan domestik tidak terjejas

Anggaran Waktu Membaca:

PUTRAJAYA: Kebenaran mengeksport ayam akan dipertimbang selepas bekalan dalam negara untuk rakyat Malaysia tidak terjejas bagi memastikan harga bahan mentah itu dapat dikawal, kata Pengerusi Pasukan Jihad Tangani Inflasi Annuar Musa.

Beliau berkata, pada masa sama, isu membabitkan pemberian subsidi kepada penternak bagi membolehkan ayam standard dijual pada harga siling runcit RM9.40 (S$2.91) sekilogram di Semenanjung Malaysia juga perlu diperhalusi.

“Jadi isunya, kita tidak boleh tangani hanya soal eksport, kita kena tangani juga soal selama mana subsidi itu nak dikekalkan.

“Kalau kita tiba-tiba terus membenarkan eksport dan pada masa yang sama ditamatkan subsidi maka harga ayam akan melambung sekali lagi,” katanya dalam sidang media pada Rabu (17 Ogos). 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Rosol Wahid bahawa Kabinet akan memuktamad keputusan sama ada membenarkan semula penternak mengeksport ayam atau sebaliknya.
 
Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata Kabinet ada membincangkan isu kebenaran mengeksport ayam dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah mengemukakan beberapa syor.

Beliau berkata keperluan ayam dalam negara adalah sebanyak 70 juta ekor sebulan atau kira-kira 2.2 juta ekor sehari dan walaupun dikatakan bekalan melebihi keperluan ketika ini, iaitu kira-kira 3.5 juta ekor, namun kerajaan hanya akan membenarkan eksport jika ia tidak menjejaskan keperluan domestik.

“Demi untuk menjaga kepentingan rakyat kerana ayam sudah boleh dianggap sebagai satu keperluan asas bagi semua keluarga, kerajaan akan hanya buat keputusan selepas semua perkara diteliti dan satu kaedah akan diperkenal kalau sekiranya nanti ayam hendak dieksport.

“Jadi jawatankuasa jihad akan lihat pekara ini dan nantinya bila dah ada satu pendekatan, barulah mungkin Kementerian Pertanian dan Industri Makanan boleh membawa semula kepada Jemaah Menteri untuk diputuskan,” katanya lagi. 

Sumber : Bernama/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan