Kebaya ke UNESCO: Indonesia akhirnya setuju sertai 4 Negara ASEAN termasuk Singapura

(Gambar: Kebaya Societe)
BERITAmediacorp: Indonesia mencapai kata sepakat dengan Singapura, Malaysia, Brunei Darussalam dan Thailand untuk mencalonkan kebaya sebagai Warisan Budaya Tidak Ternilai UNESCO. Kelima-lima negara akan menyerahkan pencalonan secara serentak pada akhir Mac tahun ini.
Menukil portal kompas.com, Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia, Hilmar Farid berkata kesepakatan ini mencetuskan momentum positif bagi Indonesia yang merupakan Pengerusi ASEAN 2023 untuk mengukuhkan kerjasama dan mewujudkan keamanan di rantau ASEAN.
Sebelum ini, pencalonan Singapura dan negara Asia Tenggara lain mendapat kritikan hebat di media sosial dari sebahagian rakyat Indonesia yang menyifatkan “kebaya hanya milik Indonesia.” Ini sehingga ada sebilangan warganya menyarankan untuk membuat pencalonan secara sendiri.
Proses pengusulan untuk mengajak Indonesia sebenarnya bermula sejak 2021 ketika Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu, Dato’ Ismail Sabri bertemu dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo di Jakarta untuk berbincang tentang peluang kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk kebudayaan.
Ia kemudian mengajak negara anggota ASEAN lain yang juga memiliki tradisi kebaya seperti Singapura untuk bergabung dalam pencalonan bersama.

Kebaya Societe, wakil Singapura yang dijemput untuk menghadiri acara pengumuman tersebut yang berlangsung di Jakarta semalam mengalu-alukan pencalonan antarabangsa ini.
Tambahnya, “sungguh menakjubkan bagaimana kebaya dapat menyatukan bangsa, negara dan masyarakat berbeza. Ini membolehkan kami meraikan persamaan serta menjadikan setiap budaya itu unik.”

Toko kebaya terkenal di Singapura, Ratianah juga menyokong kerjasama tersebut yang dikatakan mampu mengeratkan hubungan ASEAN, “Ini membuktikan kami semua adalah dari satu rumpun bersatu hati dan mencintai kebaya sebagai perutusan busana budaya kita.”


Jenis kebaya yang diusulkan dalam daftar Warisan Budaya Tidak Ternilai ialah Kebaya Labuh dari wilayah Kepulauan Riau dan Kebaya Kerancang atau juga dikenali sebagai Kebaya Encim dari Betawi.
Keputusan bagi pencalonan tersebut akan diumumkan pada penghujung 2024.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.