Kebakaran tanah gambut di Riau berterusan selepas 16 hari; 434 hektar hangus
Kebakaran hutan dan tanah di Sungai Guntung Hilir di wilayah Riau, Indonesia telah menghanguskan 434.35 hektar tanah gambut dan masih aktif walaupun operasi memadam kebakaran sudah memasuki hari ke-16.
Anggaran terkini yang dihitung menggunakan imej satelit Sentinel-2 mencatatkan peningkatan mendadak berbanding kira-kira 50 hektar semasa kebakaran mula dikesan. (Gambar: Media Center Riau)
- Kebakaran hutan dan tanah gambut di Sungai Guntung Hilir, Riau, telah memusnahkan 434.35 hektar sejak 16 hari lalu.
- Ketua Daerah Operasi Manggala Agni Rengat, Muhammad Sodik, melaporkan hanya 45 hektar berjaya dipadamkan setakat ini.
- Operasi pemadaman sukar kerana tumbuh-tumbuhan tebal dan sumber air yang terletak 300 hingga 500 meter dari lokasi kebakaran.
- Empat pam pemadam kebakaran dan peralatan sokongan telah digerakkan untuk mengawal kebakaran yang masih aktif.
Ketua Daerah Operasi Manggala Agni Rengat Muhammad Sodik berkata anggaran terkini yang dihitung menggunakan imej satelit Sentinel-2 mencatatkan peningkatan mendadak berbanding kira-kira 50 hektar semasa kebakaran itu mula dikesan.
"Pada hari ke-16, kawasan seluas dua hektar berjaya dipadamkan, sekali gus membawa kepada jumlah keseluruhan kawasan yang terpadam kepada kira-kira 45 hektar, manakala kawasan yang terjejas akibat kebakaran meliputi 434.35 hektar," menurut beliau seperti yang dilaporkan oleh agensi berita Antara pada Selasa (18 Ogos).
Beliau berkata kebakaran tersebut memusnahkan kawasan tanah gambut yang diliputi semak samun dan kelapa sawit di daerah Rengat, wilayah Indragiri Hulu.
Menurut Encik Muhammad Sodik, tumbuh-tumbuhan yang tebal serta sumber air yang terletak kira-kira 300 hingga 500 meter dari posisi pemadaman menjejaskan operasi, dengan empat pam pemadam kebakaran bersama peralatan sokongan telah digerakkan ke lokasi kejadian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.