Skip to main content

Dunia

Kebakaran taman California disifatkan sebagai kebakaran hutan terbesar di Amerika

Anggaran Waktu Membaca:
CALIFORNIA: Beribu-ribu anggota bomba sedang memadamkan kebakaran hutan yang semakin meningkat di utara California sejak Sabtu (27 Jul) selepas kebakaran meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh 24 jam -- menjadikannya kebakaran terbesar dalam kalangan berpuluh-puluh kebakaran di Amerika Syarikat sekarang.

Kebakaran itu memusnahkan kawasan seluas 350,000 ekar yang terletak kira-kira 90 batu dari utara ibu kota Sacramento pada petang Sabtu, menurut Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California.

Lebih 130 struktur musnah, dengan arahan untuk berpindah dan amaran dikeluarkan untuk masyarakat yang menetap di beberapa daerah berdekatan.

Hanya 10 peratus kebakaran dapat dikawal setakat ini, menurut pihak berkuasa.

Tetapi suhu yang lebih sejuk dan udara yang lebih lembap dijangkakan di daerah tersebut, berpotensi membantu usaha untuk memperlahankan merebaknya kebakaran.

Seorang lelaki telah diberkas pada Khamis kerana disyaki telah memulakan kebakaran tersebut, dengan menolak sebuah kereta yang terbakar ke dalam gaung yang kering sehari sebelum itu.

Saiz kebakaran itu telah mengatasi kebakaran besar Durkee di Oregon, yang merupakan kebakaran hutan aktif terbesar di negara itu.

Kebakaran Durkee telah memusnahkan kawasan hampir 290,000 ekar di timur wilayah itu.

Ia dicetuskan oleh panahan petir pada 17 Julai, dengan angin kencang memburukkan lagi keadaan.

Ia adalah antara 45 kebakaran besar yang membara di seluruh Oregon, menurut jabatan perhutanan wilayah tersebut pada Jumaat.

Di timur laut, di mana kebakaran Kompleks Battle Mountain telah memusnahkan kawasan hampir 160,000 ekar, penternak tempatan Don Cape berkata dia tidak pernah menyaksikan kebakaran besar seperti itu, sepanjang 78 tahun menetap di kawasan tersebut.

"Saya sudah tinggal di sini sepanjang hidup saya dan tidak pernah, tidak pernah melihatnya seperti ini. Tidak pernah...sekali pun."

Sementara itu, Perkhidmatan Hutan Amerika menyatakan, seorang anggota bomba maut selepas sebuah lori tangki merempuh kawasan kebakaran di tenggara Oregon yang meragut nyawanya.
Sumber : Reuters/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita