Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kebakaran musnahkan bangunan polis di Bangkok

Anggaran Waktu Membaca:

BANGKOK: Kebakaran yang marak memusnahkan sebuah bangunan polis yang menyimpan dokumen-dokumen rasmi di daerah Sathon di Bangkok pada awal Sabtu (4 Mac). 

Tiada kematian dilaporkan, menurut Bangkok Post. 

Lebih 50 lori bomba dan ahli boma dikerahkan ke bangunan di Divisyen 5 Polis Metropolitan di Sathon Road di kawasan Thung Mahamek untuk mengawal kebakaran yang tercetus pada sekitar pukul 4.00 pagi, menurut laporan media. 

Kebakaran dengan pantas merebak ke seluruh bangunan tiga tingkat itu. Bunyi kuat seakan-akan letupan kerap kedengaran, manakala jalan raya dalam jarak satu kilometer dari bangunan itu dikepung oleh pihak polis. 

Pasukan bomba mengambil masa lebih sejam untuk mengawal kebakaran tersebut, lapor Bangkok Post. 

Tiada seorang pun berada di dalam bangunan tersebut pada waktu kejadian. Empat kereta yang diletakkan berhampiran bangunan tersebut musnah. 

Gabenor Bangkok Chadchart Sittipunt bergegas ke tempat kejadian sedang beliau bersiap sedia untuk melakukan senaman pagi. 

Menurut Encik Chadchart, seorang pegawai polis yang menjaga bangunan itu tendengar bunyi kuat seperti litar pintas dari tingkat pertama bangunan tersebut dan melihat dokumen-dokumen terbakar. 

Pegawai polis itu kemudian menghubungi pasukan bomba setelah gagal memadamkan kebakaran menggunakan pemadam api, tambah Encik Chadchart. 

Pesuruhjaya Biro Polis Metropolitan Thiti Saengsawant berkata, kebakaran itu tercetus di tingkat pertama bangunan tersebut dan dengan pantas merebak ke tingkat dua dan tiga, menyebabkan bumbungnya roboh. Seluruh bangunan itu rosak teruk.

Bangunan itu menyimpan dokumen-dokumen rasmi dan para pegawai polis akan memeriksa sama ada dokumen bagi kes-kes penting disimpan di premis tersebut, menurut ketua polis bandar itu. 

Sebuah jawatankuasa akan ditubuhkan untuk menyiasat punca kebakaran tersebut, tambahnya lagi.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan