Skip to main content

Dunia

Kebakaran hutan terus marak di selatan Eropah, 3 anggota bomba maut di Greece

Kebakaran hutan yang masih belum dapat dikawal dan kini meliputi kawasan seluas empat kali ganda saiz Paris terus mengancam barat daya Perancis pada Rabu (29 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Kebakaran hutan terus marak di selatan Eropah, 3 anggota bomba maut di Greece

Sebuah pesawat De Havilland Canada Dash 8-400 melepaskan bahan kalis api ke kawasan hutan berhampiran Saint-Jean-d'Illac ketika kebakaran hutan melanda barat daya Perancis, pada 28 Julai 2026. (Gambar: AP/Emma Da Silva)

Diterbitkan : 30 Jul 2026 10:09AM Dikemas Kini : 30 Jul 2026 10:16AM
  • Kebakaran hutan besar melanda barat daya Perancis dan beberapa negara Eropah, memaksa pemindahan sekitar 330,000 penduduk dan pelancong.
  • Tiga anggota bomba maut di Greece ketika memadamkan kebakaran, manakala ribuan anggota bomba dan pesawat dikerahkan di Perancis dan Sepanyol.
  • Punca kebakaran dipercayai berkaitan kerja pembersihan semak berhampiran talian elektrik, ditambah cuaca panas melampau, kemarau dan angin kencang.
  • Pihak berkuasa memberi amaran ancaman masih berterusan walaupun sebahagian kawasan berjaya dikawal, dengan musim pelancongan turut terjejas.
Dijana oleh AI
LEGE-CAP FERRET: Kebakaran hutan yang masih belum dapat dikawal dan kini meliputi kawasan seluas empat kali ganda saiz Paris terus mengancam barat daya Perancis pada Rabu (29 Jul).

Dalam pada itu, tiga anggota bomba maut di Greece dan pasukan penyelamat di seluruh selatan Eropah berdepan gabungan cuaca panas melampau, kemarau dan angin kencang.

Kematian tiga anggota bomba di pulau Crete itu menambahkan lagi kesan buruk krisis kebakaran hutan yang kini melanda kawasan dari pantai Atlantik hingga ke timur Mediterranean.

Pada kemuncak operasi pemindahan, kira-kira 330,000 penduduk dan pelancong dipindahkan dari kediaman serta lokasi percutian mereka di Perancis dan Sepanyol.

Di wilayah Gironde, Perancis, kebakaran terbesar negara tersebut tidak merebak menyusuli keadaan tenang sepanjang malam, menurut pihak berkuasa.

Namun, dengan suhu menghampiri 40 darjah Celsius pada petang Rabu dan angin yang semakin kencang, keadaan tenang itu dijangka tidak berpanjangan.

Kawasan tersebut kini terlalu kering sehingga para penyiasat percaya kerja-kerja pembersihan semak berhampiran talian elektrik bervoltan tinggi mungkin mencetuskan kebakaran, meskipun kerja tersebut dipercayai mematuhi peraturan.

Di pusat kawalan operasi di Lège, anggota bomba meneliti peta yang dibentangkan di atas bonet sebuah kereta bagi memantau tiga zon berisiko tinggi: utara Cap-Ferret; kawasan berhutan sekitar Marcheprime, Cestas dan Saint-Jean-d'Illac; serta sebuah tapak tentera berhampiran Martignas yang menyaksikan kebakaran besar sehingga memerlukan pengerahan besar-besaran.

Lebih 2,200 anggota bomba dan lebih 20 pesawat masih dikerahkan, dengan sokongan pasukan-pasukan dari seluruh Perancis dan negara-negara rakan di Eropah.

"Kami akan bertindak segera dan menggerakkan segala usaha untuk memadamkan sebarang kebakaran baharu sebaik sahaja ia dikesan," kata Komander Bomba Gironde, Matthieu Jomain.

HARI PALING PANAS MINGGU INI

Kebakaran besar di wilayah Landes dan Var kini berjaya dibendung.

Ia menjadikan Gironde sebagai medan utama kebakaran hutan di Perancis ketika ini, kata Menteri Dalam Negeri Laurent Nuñez.

Kebakaran di Gironde memaksa 220,000 orang dipindahkan pada kemuncak krisis. Walaupun puluhan ribu penduduk sudah dibenarkan pulang, pihak berkuasa mengingatkan bahawa ancaman masih belum berakhir.

Cuaca panas melampau menyebabkan tumbuh-tumbuhan kehilangan kelembapan dan mengurangkan kadar kelembapan udara, sekali gus menjadikan rumput, semak dan sisa hutan lebih mudah terbakar.

Para penyiasat percaya kontraktor yang menjalankan kerja berhampiran talian elektrik bervoltan tinggi milik pengendali grid tenaga Enedis mencetuskan kebakaran ketika menggunakan mesin pemotong semak, kata Pendakwa Bordeaux, Renaud Gaudeul.

Menurut Météo-France, Rabu dijangka menjadi hari paling panas dan paling kering minggu ini, dengan risiko kebakaran hutan yang tinggi di seluruh Perancis.

Kemarau kini melanda seluruh tanah besar Perancis dan Corsica, dengan tahap kekeringan tanah menghampiri rekod yang dicatatkan pada Ogos 2022.

Asap daripada kebakaran di Gironde dan Landes turut menyebabkan peningkatan pencemaran zarah halus di kedua-dua wilayah tersebut, menurut pemantau kualiti udara serantau.

LEBIH BANYAK PEMINDAHAN DI PERANCIS

Pihak berkuasa Gironde mengarahkan 4,000 lagi orang dipindahkan dari kawasan pelancongan di pantai Atlantik pada Selasa, sekali gus meluaskan operasi yang mungkin menjadi pemindahan terbesar di Perancis pada waktu aman.

"Keadaan masih rumit. Itu jelas. Kita masih belum lagi selamat," kata Prefek Gironde, Sophie Brocas.

Beliau turut membenarkan 60,000 penduduk yang dipindahkan pulang ke tiga kawasan pinggir Bordeaux yang tidak terjejas oleh kebakaran.

Keadaan yang menyaksikan ribuan orang diarahkan untuk meninggalkan pusat-pusat peranginan pantai, dengan ribuan lagi dibenarkan pulang dengan telefon bimbit dihidupkan dan beg kecemasan yang sudah disiapkan, menggambarkan situasi yang masih tidak menentu.

Gangguan itu turut menjejaskan musim pelancongan paling sibuk di Bordeaux.

KEBAKARAN DI GREECE RAGUT NYAWA ANGGOTA BOMBA

Dua anggota bomba maut pada Rabu ketika memadamkan kebakaran hutan di wilayah Rethymno, Crete, menurut Jabatan Bomba Greece.

Mereka merupakan sebahagian daripada kira-kira 125 anggota bomba yang berusaha untuk mengawal kebakaran yang marak akibat angin kencang, dengan bantuan empat helikopter dan empat pesawat pengebom air.

Punca kematian mereka masih belum diketahui.

Jabatan bomba menyatakan mereka "gugur ketika menjalankan tugas bagi melindungi nyawa, harta benda awam dan alam sekitar."

Seorang lagi anggota bomba turut meninggal dunia pada Rabu di luar kawasan kebakaran selepas memadamkan satu lagi kebakaran di wilayah Peloponnese di selatan Greece.

PULUHAN RIBU PENDUDUK PULANG KE RUMAH DI SEPANYOL

Pada kemuncak krisis, sekitar 330,000 orang dipindahkan dari rumah dan lokasi percutian di Perancis dan Sepanyol.

Puluhan ribu penduduk sudah mula pulang ke rumah di tengah Sepanyol selepas anggota bomba berjaya mengawal kebakaran di sekitar Madrid dan Ávila.

Arahan pemindahan turut ditarik balik bagi kira-kira 20,000 penduduk di wilayah Madrid, manakala sekatan supaya berteduh di rumah ditamatkan bagi 14,000 lagi penduduk.

Namun, 10,000 orang masih diarahkan untuk berpindah di Castellón, dengan kebakaran di kawasan tersebut masih belum dapat dikawal sedang Sepanyol bersiap sedia untuk menghadapi gelombang haba keempat bagi musim panas ini.

Lebih 1,160 kilometer persegi tanah telah terbakar di seluruh Perancis tahun ini, menurut Kementerian Dalam Negeri negara itu.

Eropah merupakan benua yang mengalami kadar pemanasan paling pantas di dunia, iaitu lebih dua kali ganda berbanding purata global, menurut Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Kesatuan Eropah.

Menurut Copernicus, Eropah Barat turut mencatatkan Jun paling panasnya dalam rekod, dengan cuaca panas melampau dan kemarau yang meluas menyumbang kepada penyebaran serta peningkatan kebakaran di Perancis dan Sepanyol.
Sumber : AP/AZ/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita