Skip to main content

Dunia

Kebakaran hutan merebak di Sumatra Selatan, terburuk dalam 10 tahun

Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Wilayah Sumatra Selatan (Sumsel) merekodkan sebanyak 54 kejadian kebakaran hutan dan tanah setakat 22 Julai 2025, dengan kawasan terbakar mencecah 43.08 hektar.

Anggaran Waktu Membaca:
Kebakaran hutan merebak di Sumatra Selatan, terburuk dalam 10 tahun

Kebakaran hutan di daerah Ogan Komering Ilir, Sumatra Selatan, Indonesia, pada September 2023. (Gambar fail: CNA/Danang Wisanggeni)

PALEMBANG: Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Wilayah Sumatra Selatan (Sumsel) merekodkan sebanyak 54 kejadian kebakaran hutan dan tanah setakat 22 Julai 2025, dengan kawasan terbakar mencecah 43.08 hektar.

“Sudah ada 54 kejadian kebakaran hutan dan tanah direkodkan sepanjang tahun ini, dengan lebih 43 hektar kawasan terjejas. Namun, keluasan sebenar masih menunggu pengesahan daripada Balai Pengendalian Kebakaran Hutan, Kementerian Kehutanan,” kata Ketua Pelaksana BPBD Sumsel, M. Iqbal Alisyahbana, pada Khamis (24 Jul).

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka, khususnya dalam musim kemarau yang meningkatkan risiko kebakaran hutan dan tanah. Para penduduk juga diseru agar sentiasa berwaspada dan menjaga persekitaran bagi mencegah sebarang kemungkinan kebakaran.

Jumlah titik panas di Sumatra Selatan menunjukkan peningkatan mendadak sepanjang bulan Julai susulan musim kemarau yang sedang melanda wilayah tersebut. Berdasarkan data Lembaga Penerbangan dan Antariksa Nasional (LAPAN), sebanyak 1,104 titik panas direkodkan sehingga 24 Julai 2025.

“Sepanjang tempoh 1 hingga 24 Julai 2025, jumlah titik panas di Sumsel mencapai 1,104 titik. Angka tersebut tertinggi berbanding bulan-bulan sebelumnya sepanjang 2025 ini,” kata Ketua Bahagian Pengurusan Kecemasan BPBD Sumatra Selatan, Sudirman, pada Khamis (24 Jul).

Menurut beliau, jumlah keseluruhan titik panas dari Januari hingga 24 Julai 2025 ialah 2,630, dengan pecahan bulanan seperti berikut: Januari (45 titik), Februari (66), Mac (100), April (216), Mei (523), Jun (576), dan Julai (1,104).

"Bahkan angka titik panas Julai 2025 itu menjadi yang tertinggi secara bulanan dan tertinggi juga dibandingkan selama 10 tahun terakhir dari 2015," kata beliau.

Berdasarkan data terdahulu, jumlah titik panas pada Julai bagi tahun-tahun sebelumnya adalah: 656 (2015), 121 (2016), 148 (2017), 198 (2018), 256 (2019), 388 (2020), 556 (2021), 328 (2022), 211 (2023), dan 530 (2024).
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita