Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kebakaran hutan Los Angeles makin teruk, Trump ambil peluang serang Democrat

Anggaran Waktu Membaca:
Kebakaran hutan Los Angeles makin teruk, Trump ambil peluang serang Democrat

(Gambar fail: Brandon Bell/Getty Images via AFP)

WASHINGTON: Bakal presiden Amerika Syarikat Donald Trump mencetuskan perang politik dengan Presiden Joe Biden dan Gabenor Democrat California pada Khamis (9 Jan), berkaitan kebakaran hutan yang melanda Los Angeles.

Encik Trump melancarkan kritikan yang menuduh Gabenor Gavin Newsom tentang beberapa kegagalannya, termasuk pembaziran air yang sepatutnya digunakan untuk memadam api, namun digunakan untuk melindungi sejenis ikan.

"Jadikan ini contoh, lambang pengurusan tidak cekap Biden/Newscum," tulis Encik Trump di platform Truth Socialnya.

Encik Biden membalas pada Khamis, dengan mengatakan bahawa penduduk "tidak sepatutnya menjadikan perkara tersebut sebagai isu politik", ketika beliau mengadakan mesyuarat kecemasan bersama pegawai pentadbiran di Rumah Putih.

Presiden Amerika itu membatalkan lawatan ke Itali yang dijadualkan bagi menangani kebakaran yang marak di bandar Los Angeles.

Encik Biden mengumumkan beberapa bantuan kewangan dan sumber baharu untuk membantu California menangani apa yang dikatakannya sebagai kebakaran hutan paling buruk dalam sejarah wilayah itu.

PERTIKAMAN LIDAH TRUMP-BIDEN

Encik Trump menuduh Encik Newsom menghalang pengaliran salji yang cair, semata-mata untuk "melindungi ikan 'smelt' tidak berharga, dengan membekalkan air yang sedikit (meskipun ia tidak berkesan)".

Encik Biden bagaimanapun menegaskan bahawa masalahnya berpunca daripada kekurangan elektrik, selepas syariakt pembekal elektrik memutuskan kuasa, disebabkan kerisauan bahawa talian elektrik yang rosak boleh mencetuskan lebih banyak kebakaran, yang menyebabkan pam air ditutup.

Encik Biden juga berkata kebakaran di Los Angeles menunjukkan bahawa "perubahan iklim adalah benar", dengan Encik Trump mengancam untuk menarik balik usaha Amerika dalam memerangi pemanasan global apabila beliau kembali ke Rumah Putih.

Dalam salah satu catatan di Truth Social, Encik Trump menuduh Encik Biden menyalurkan dana kepada dasar iklim "Penipuan Hijau Baharu", dan bukan kepada Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA).

Encik Biden berulang kali menafikan tuduhan tersebut termasuk selepas taufan melanda Amerika Syarikat pada Oktober, apabila Encik Trump berkata beliau memberi wang tersebut kepada pendatang.
 
Sumber : AFP/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan