Kebakaran hutan Gunung Bromo cecah 60 hektar, operasi udara dikerahkan
Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran di Taman Negara Bromo Tengger Semeru di Malang, Jawa Timur, pada 5 Ogos 2026. (Gambar: AFP/Muhammad Firman)
Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB), Abdul Muhari berkata kebakaran yang berlaku sejak Isnin (3 Ogos) itu sudah memusnahkan kira-kira 10 hektar kawasan di Probolinggo dan 50 hektar lagi di Taman Negara Bromo Tengger Semeru di Malang yang berhampiran.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
"BNPB telah mengerahkan dua helikopter pengebom air bagi membantu memadamkan titik panas yang terletak di cerun curam dan sukar diakses oleh pasukan darat," kata beliau dalam kenyataannya pada Khamis.
Encik Abdul Muhari berkata sebahagian besar kebakaran berjaya dikawal menjelang petang Rabu, namun beberapa titik panas masih aktif di kawasan curam dan sukar diakses. Pasukan kecemasan terus memantau dan memadamkan kebakaran di lokasi berkenaan.
Beliau berkata BNPB turut membuat persiapan untuk melaksanakan Operasi Pengubahsuaian Cuaca, tertakluk kepada keadaan cuaca, bagi melengkapi operasi pemadaman yang sedang dijalankan oleh pasukan tindak balas kecemasan bersama.
Pihak berkuasa Taman Negara Bromo Tengger Semeru mengekalkan penutupan sementara sebahagian kawasan pelancongan Gunung Bromo sehingga dimaklumkan kelak bagi memudahkan operasi pemadaman dan menjamin keselamatan orang ramai.
Awal dari itu, pihak berkuasa tempatan memaklumkan bahawa kebakaran tersebut dipercayai berpunca daripada unggun api yang ditinggalkan pendaki, namun punca sebenar masih dalam siasatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.