Kebakaran hutan di 4 negara Eropah musnahkan kawasan seluas 42,000 ekar
Ratusan anggota bomba di seluruh selatan Eropah pada Ahad (5 Jul) bertungkus-lumus memadamkan kebakaran hutan yang memaksa para penduduk meninggalkan rumah mereka pada tengah malam serta mengancam menjejas pelaksanaan satu peringkat perlumbaan berbasikal Tour de France, sedang suhu kembali meningkat di rantau yang terjejas akibat gelombang haba itu.
Anggota bomba dan beberapa individu lain kelihatan bertungkus-lumus memadamkan kebakaran hutan di pinggir bandar utara Thessaloniki, Greece, pada 4 Julai 2026. (Gambar: AP/Giannis Papanikos)
Kebakaran itu sudah memusnahkan lebih 42,000 ekar tanah - iaitu lebih dua kali ganda lebih besar berbanding saiz Manhattan - di Portugal, Sepanyol, Perancis dan Greece, dengan suhu dijangka mencecah 40 darjah Celsius di beberapa kawasan.
"Kami mula melihat asap berkepul-kepul pada sekitar pukul 10.30 malam, kemudian ia menjadi semakin dekat. Seseorang dari dewan bandar datang mengetuk pintu rumah kami pada sekitar pukul 1.00 pagi untuk menyuruh kami supaya berpindah," kata Charlotte Pignol, 30 tahun, yang dipindahkan dari rumahnya di selatan Perancis berhampiran bandar Perpignan.
"Terdapat jentera bomba di merata-rata tempat dan bau asap sangat menyengat," katanya.
Kebakaran itu berlaku tidak lama selepas gelombang haba melanda pada Jun, iaitu antara yang paling buruk pernah melanda Eropah, yang mengakibatkan ribuan kematian direkodkan dan yang menurut kumpulan saintis World Weather Attribution, "hampir mustahil" berlaku tanpa perubahan iklim.
Dengan suhu dijangka meningkat semula dalam beberapa hari akan datang, pihak berkuasa menyuarakan kebimbangan bahawa musim kebakaran hutan tahunan pada musim panas bermula sebulan lebih awal daripada kebiasaan.
"Perubahan iklim sudah berlaku, kita sedang menanggung kesannya dan sekarang baru permulaan Julai," kata Kolonel Perkhidmatan Bomba Perancis Eric Belgioino sambil menggesa para penduduk berhampiran kawasan kebakaran di Pyrenees supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan berlaku kebakaran.
"Musim ini akan menjadi panjang buat anggota bomba yang bertugas. Anda perlu membantu kami," rayunya.
AWAN BERACUN
Di Greece, kebakaran hutan menyebabkan api merebak ke dua kilang di Thessaloniki, di utara negara itu, sekali gus memaksa pihak berkuasa mengarahkan para penduduk di kawasan sekitarannya untuk berpindah.
Asap hitam tebal dari sebuah pusat kitar semula dan kompleks pemprosesan minyak berhampiran merebak ke bandar kedua terbesar Greece itu. Pihak berkuasa memberi amaran kepada para penduduk supaya menutup tingkap rumah menyusuli risiko keracunan.
Di Sepanyol, kebakaran berhampiran pantai Costa Brava di timur laut negara itu memusnahkan lebih 2,200 hektar kawasan dalam tempoh dua hari. Anggota bomba berkata usaha memadamkan api menjadi semakin "rumit" berikutan suhu yang semakin meningkat dan banyak "titik panas yang masih membara" dalam kawasan kebakaran tersebut.
Di Perancis, lebih 700 anggota bomba dikerahkan untuk mengawal kebakaran hutan yang mengancam peringkat ketiga perlumbaan berbasikal Tour de France pada Isnin yang merentasi kawasan Pyrenees.
Kebakaran itu telah memusnahkan lebih 1,500 hektar kawasan lereng bukit di Trevillach, kira-kira 70 kilometer dari lokasi penamat perlumbaan berbasikal tersebut pada Isnin.
Wakil pemerintah Pierre Regnault de la Mothe berkata keputusan akan dibuat pada Ahad sama ada peringkat perlumbaan yang merentasi sempadan Sepanyol itu akan diteruskan seperti yang dijadualkan.
AMARAN GELOMBANG HABA
Jalan raya di kawasan terjejas sudah ditutup, dengan pihak berkuasa membuka pusat perlindungan kecemasan bagi para penduduk yang terpaksa meninggalkan rumah mereka.
Sementara itu, seramai 300 lagi anggota bomba Perancis turut bertungkus-lumus untuk memadamkan satu lagi kebakaran di kawasan pergunungan di wilayah Drome, tenggara negara itu.
Di Portugal, pasukan kecemasan berkata mereka berjaya mengawal "80 peratus" kebakaran hutan yang memusnahkan sekitar 13,000 hektar kawasan hutan dan belukar di utara negara itu.
Di tempat lain, kebakaran besar turut memusnahkan ratusan hektar hutan, ladang anggur dan kawasan belukar di Pulau Hvar, Croatia, serta di Tale, Albania, menurut pihak berkuasa.
Beberapa wilayah di Portugal, Sepanyol dan selatan Perancis meningkatkan tahap amaran gelombang haba bagi beberapa hari akan datang.
Pada Isnin, gelombang haba terbaharu itu dijangka bergerak ke utara, dengan peramal cuaca menyatakan ia mungkin berlarutan sehingga hujung minggu depan.
Menyusuli lonjakan suhu selama dua minggu pada Jun, Perancis melaporkan lebih 2,000 kematian berlebihan dalam tempoh seminggu sahaja, manakala Sepanyol dan Belgium masing-masing melaporkan lebih 1,000 kematian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.