Kebakaran hutan Desaru-Pengerang: 60% kawasan dilapor masih terbakar
Kebakaran hutan seluas kira-kira 150 hektar di kawasan Lebuhraya Desaru-Pengerang sejak Sabtu (21 Mac) masih berlanjutan. (Gambar: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia melalui BERNAMA)
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor dalam kenyataannya memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.30 malam, 21 Mac, sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Punggai digerakkan ke lokasi sejauh enam kilometer.
Agensi itu memaklumkan kebakaran melibatkan kawasan hutan serta belukar kering, dengan api marak dipengaruhi tiupan angin kencang yang berpotensi memperluas kebakaran.
“Setakat 6.30 petang ini, sebanyak 60 hektar atau 40 peratus kawasan telah dipadamkan, manakala baki 90 hektar atau 60 peratus masih terbakar,” menurut kenyataan itu lewat malam pada Isnin.
Sebanyak tujuh anggota terlibat dalam operasi itu dengan satu kereta bomba digunakan.
Keadaan di lokasi dilaporkan mencabar dengan asap tebal dan tinggi sehingga menjejas penglihatan di laluan Lebuhraya Bypass Punggai menghala ke Sebana Cove.
Sehubungan itu, bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Balai Polis Bayu Damai digerakkan bagi menutup laluan terlibat dan mengawal pergerakan kenderaan demi keselamatan pengguna jalan raya.
Tiada mangsa dilaporkan setakat ini, manakala operasi pemadaman masih diteruskan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.