Skip to main content

Dunia

Kebakaran hutan Australia musnahkan rumah, putuskan bekalan elektrik

Beribu-ribu anggota bomba pada Sabtu (10 Jan) bertungkus-lumus di wilayah Victoria, Australia, untuk mengawal kebakaran hutan yang memusnahkan rumah, memutuskan bekalan elektrik puluhan ribu penduduk dan membakar kawasan belukar yang luas.
Anggaran Waktu Membaca:
Kebakaran hutan Australia musnahkan rumah, putuskan bekalan elektrik
Gambar kebakaran hutan berhampiran bandar Longwood, Australia, yang dimuat naik pada 8 Januari 2026 oleh Premier Victoria, Jacinta Allan. (Gambar: Facebook/Jacinta Allan)
SYDNEY: Beribu-ribu anggota bomba pada Sabtu (10 Jan) bertungkus-lumus di wilayah Victoria, Australia, untuk mengawal kebakaran hutan yang memusnahkan rumah, memutuskan bekalan elektrik puluhan ribu penduduk dan membakar kawasan belukar yang luas.

Kebakaran itu, yang sebahagian besarnya tercetus pada pertengahan minggu di tengah-tengah gelombang haba yang kuat di tenggara Australia, merebak merentasi lebih 300,000 hektar kawasan belukar, menurut pihak berkuasa pada pagi Sabtu, sambil menambah bahawa 10 kebakaran besar masih marak di seluruh wilayah tersebut.

Lebih 130 struktur, termasuk rumah, musnah dan sekitar 38,000 kediaman serta premis perniagaan terputus bekalan elektrik akibat kebakaran tersebut, menurut pihak berkuasa. Mereka menyatakan kebakaran itu merupakan yang terburuk melanda wilayah tersebut sejak tragedi “Black Summer” 2019-2020 yang memusnahkan kawasan sebesar Turki dan mengorbankan 33 nyawa.

Premier Victoria, Jacinta Allan, berkata ribuan anggota bomba berada di lapangan untuk mengawal kebakaran itu.

“Di mana yang boleh, kebakaran akan dikawal,” kata beliau dalam satu sidang media yang disiarkan dari ibu negara Melbourne.

Terdahulu pada Sabtu, Perdana Menteri Anthony Albanese berkata negara itu berdepan cuaca kebakaran yang “amat berbahaya”, khususnya di Victoria, di mana sebahagian daripada besar wilayah itu sudah diisytiharkan sebagai zon bencana.

“Fikiran saya bersama rakyat Australia di komuniti serantau ini dalam waktu yang amat sukar,” kata Encik Albanese dalam kenyataan yang disiarkan dari Canberra.

Salah satu kebakaran terbesar, berhampiran bandar Longwood, kira-kira 112 kilometer di utara Melbourne, membakar 130,000 hektar kawasan belukar, memusnahkan 30 struktur, ladang anggur serta tanah pertanian, menurut pihak berkuasa.

Puluhan masyarakat berhampiran kawasan kebakaran sudah dipindahkan, dan banyak taman serta tapak perkhemahan di wilayah itu ditutup.

Amaran gelombang haba pada Sabtu dikeluarkan bagi sebahagian besar Victoria, manakala amaran cuaca kebakaran turut berkuat kuasa di wilayah berdekatan, New South Wales serta Ibu Negara Australia, menurut badan ramalan cuaca negara itu.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita