Skip to main content

Dunia

Kebakaran hutan ancam habitat orang utan di Kalimantan

Kebakaran hutan yang sedang berlaku di Kalimantan menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan hidup orang utan apabila sebahagian habitat semula jadi spesies terancam tersebut musnah akibat kebakaran yang merebak di beberapa kawasan, lapor Astro Awani.

Anggaran Waktu Membaca:
Kebakaran hutan ancam habitat orang utan di Kalimantan

Orang utan, yang hanya ditemui secara semula jadi di Kalimantan dan Sumatra, diklasifikasikan sebagai spesies terancam kritikal. (Gambar: REUTERS)

Diterbitkan : 02 Sep 2026 11:11AM
JAKARTA: Kebakaran hutan yang sedang berlaku di Kalimantan menimbulkan kebimbangan terhadap kelangsungan hidup orang utan apabila sebahagian habitat semula jadi spesies terancam tersebut musnah akibat kebakaran yang merebak di beberapa kawasan, lapor Astro Awani.

Seekor orang utan yang lemah ditemui terbaring di atas tanah di Ketapang, Kalimantan Barat, mencerminkan kesan serius kebakaran terhadap hidupan liar di rantau berkenaan.

Indonesia kini sedang memperhebatkan usaha mengawal jerebu dan kebakaran hutan yang melanda enam wilayah di Kalimantan dan Sumatra, dengan pasukan kecemasan digerakkan bagi mencegah kebakaran daripada terus merebak.

Menurut Yayasan Inisiasi Alam Rehabilitasi Indonesia (YIARI), kebakaran tersebut memusnahkan sebahagian kawasan hutan yang menjadi sumber makanan, perlindungan dan habitat kepada ratusan orang utan.

Ketua Pegawai Eksekutif YIARI, Karmele Llano Sanchez, berkata keadaan semasa amat membimbangkan kerana kebakaran menyebabkan haiwan berkenaan kehilangan akses kepada keperluan asas untuk terus hidup.

"Keadaan kini agak kritikal. Kebakaran menyebabkan orang utan kehilangan sumber makanan dan bekalan air," kata beliau.

Cik Sanchez menjelaskan bahawa kebakaran bukan sahaja memusnahkan habitat semula jadi, malah memaksa haiwan itu keluar dari kawasan hutan dan berdepan risiko kelaparan, dehidrasi serta konflik dengan manusia.

Menurut YIARI, orang utan yang ditemui dalam keadaan lemah di Ketapang akan dipindahkan ke pusat pemulihan bagi menjalani rawatan dan penjagaan lanjut.

Selepas pulih sepenuhnya, haiwan itu akan dilepaskan semula ke habitat liar yang sesuai, menurut pertubuhan berkenaan.

Orang utan, yang hanya ditemui secara semula jadi di Kalimantan dan Sumatra, diklasifikasikan sebagai spesies terancam yang kritikal, dengan kehilangan habitat akibat penebangan hutan dan kebakaran menjadi antara ancaman utama terhadap kelangsungan populasinya.

Pihak berkuasa Indonesia terus memantau situasi kebakaran dan menjalankan operasi pemadaman bagi mengurangkan kesan terhadap masyarakat setempat serta ekosistem hutan yang menjadi habitat kepada pelbagai spesies hidupan liar.
Sumber : Agensi berita/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita