Skip to main content

Dunia

Kebakaran hutan 32 hektar di Johor berjaya dipadam selepas 7 hari

Anggaran Waktu Membaca:
Kebakaran hutan 32 hektar di Johor berjaya dipadam selepas 7 hari

(Gambar: Facebook/BAHAGIAN UDARA JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA)

KOTA TINGGI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor berjaya memadam kebakaran meliputi 32 hektar kawasan hutan di Bypass Sebana Cove-Punggai, di Kota Tinggi, pada Jumaat (20 Okt) yang terbakar sejak Ahad (15 Okt) lalu.

Ketua Balai bagi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sebana Cove, Penolong Penguasa Bomba Mohd Khairul Sufian Dahari berkata, kebakaran tersebut dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 8.00 malam selepas operasi melibatkan pelbagai pihak dilakukan yang mengambil masa tujuh hari, lapor Sinar Harian.

"Keadaan ini memakan masa agak lama berikutan kedudukan tompok-tompok api yang berdekatan antara satu sama lain iaitu kira-kira 200 meter.

"Pihak bomba juga terpaksa mengharungi kawasan paya ketika operasi pemadaman kebakaran dijalankan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu (21 Okt).

Beliau berkata, pada ketika ini, sekumpulan anggota bomba dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) masih beroperasi dengan skala kecil di kawasan kebakaran.

Jelasnya, ia bertujuan untuk memastikan bara api dapat dipadam sepenuhnya kerana kawasan berkenaan dilaporkan berdepan cuaca panas kerana lebih seminggu tidak hujan, selain tiupan angin yang tidak menentu juga menyukarkan operasi pemadaman api.

Awal dari itu, anggota BBP Sebana Cove, BBP Punggai dan BBP Kota Tinggi dengan tiga jentera terbabit dalam operasi pemadaman kebakaran menerusi darat, seperti dipetik laporan Sinar Harian.

Pesawat AW139 (BMB 07) dari Pangkalan Udara Bertam bersama tujuh kru dan pesawat Bombadier Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dari Lapangan Terbang Subang bersama tujuh anak kapal turut membantu dalam operasi memadam kebakaran.

Akibat kebakaran itu, kawasan sekitarnya turut diselubungi asap beberapa hari lalu hingga menghadkan penglihatan kepada hanya jarak dua kilometer.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita