Skip to main content

Dunia

Kebakaran belukar Australia semakin merebak ke bandar di Pulau Fraser

Pihak berkuasa Australia pada Isnin (7 Dis) mengarahkan para penduduk sebuah bandar pesisir di Pulau Fraser yang tersenarai sebagai warisan dunia untuk "segera meninggalkan" tempat itu setelah kebakaran belukar meluas dijangka semakin merebak ke bandarnya pada awal pagi.

Anggaran Waktu Membaca:
Kebakaran belukar Australia semakin merebak ke bandar di Pulau Fraser

Gambar 5 Dis 20 menunjukkan kebakaran belukar di Pulau Fraser, Australia (Gambar: Save Fraser Islands Dingoes Inc menerusi REUTERS)

Diterbitkan : 07 Dec 2020 08:25AM Dikemas Kini : 07 Dec 2020 08:30AM

SYDNEY: Pihak berkuasa Australia pada Isnin (7 Dis) mengarahkan para penduduk sebuah bandar pesisir di Pulau Fraser yang tersenarai sebagai warisan dunia untuk "segera meninggalkan" tempat itu setelah kebakaran belukar meluas di sana sejak pertengahan Oktober dijangka semakin merebak ke bandarnya pada awal pagi.

Kebakaran itu sudah memusnahkan separuh daripada pulau di luar pantai timur laut Australia, yang merupakan sebahagian daripada Terumbu Sawar Besar (Great Barrier Reef) dan terkenal dengan hutan hujan tropika di gurun pasir serta tasik pedalamannya.

"Keadaan sekarang sangat berbahaya dan anggota bomba tidak lama lagi mungkin tidak berupaya mencegah kebakaran daripada merebak," menurut Khidmat Bomba dan Kecemasan Queensland.

Perkhidmatan elektrik, air, dan telefon bimbit mungkin terputus dan keadaan jalan raya mungkin menjadi sangat berbahaya dalam beberapa jam akan datang, menurut pihak berkuasa.

Sesiapa yang berada dekat bandar di pulau pasir terbesar di dunia itu, yang juga dikenali dengan nama asalnya K'gari, diminta untuk berpindah ke pantai atau menuju ke selatan.

Gelombang panas yang kuat melanda tenggara dan timur laut Australia sejak beberapa hari lalu dengan suhu menjangkau lebih 40 darjah Celsius di beberapa kawasan.

Ini juga meningkatkan risiko kebakaran hutan dengan larangan menyala api dikuatkuasakan sepenuhnya di beberapa daerah di tengah-tengah gelombang panas pertama musim kebakaran yang biasanya berlarutan dari musim bunga hemisfera selatan hingga musim panas.

Kebakaran belukar pada musim panas lalu memusnahkan lebih 11 juta hektar kawasan belukar, mengorbankan 33 orang dan berbilion-bilion haiwan asal Australia. Perdana Menteri Scott Morrison menyifatkannya sebagai "musim panas hitam" Australia.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita