Skip to main content

Dunia

Kebakaran belukar Australia: Penduduk Islam Australia sertai penganut Kristian berdoa mohon hujan

Sekumpulan penduduk Islam berkumpul untuk berdoa memohon hujan menyusuli keadaan kemarau buruk dan krisis kebakaran hutan di Australia.

Anggaran Waktu Membaca:
Kebakaran belukar Australia: Penduduk Islam Australia sertai penganut Kristian berdoa mohon hujan

(Gambar: Facebook)

Diterbitkan : 05 Jan 2020 05:40PM Dikemas Kini : 05 Jan 2020 05:48PM

ADELAIDE: Sekumpulan penduduk Islam berkumpul untuk berdoa memohon hujan menyusuli keadaan kemarau buruk dan krisis kebakaran hutan di Australia.

Lebih 50 orang terdiri daripada kaum lelaki, wanita dan kanak-kanak berkumpul di Taman Bonython di Adelaide hari ini (5 Jan) bagi tujuan itu.

Related article image

Paderi Patrick McInerney, dari Pusat Perhubungan Kristian dan Islam, turut menyertai orang ramai dalam upacara itu.

“Hari ini, saya menyertai saudara Islam saya di Adelaide berdoa agar hujan turun.

“Rakan saya, Profesor Mohamad Abdalla, menyampaikan khutbah yang menekankan keperluan kita bertaubat dan bergantung kepada Tuhan Yang Maha Penyayang,” katanya.

Upacara itu dijalankan sehari selepas juruterbang Encik Dick Lang, 78 tahun, dan anak lelakinya, Clayton, 43 tahun, seorang pakar bedah, maut dalam kebakaran hutan di Kangaroo Island, di luar pantai Australia Selatan.

Related article image

Keadaan di Kangaroo Island. 

Kedua-dua beranak itu keluar untuk membantu memadamkan api dan kembali ke rumah apabila terperangkap dalam kebakaran itu.

“Kami amat sedih kehilangan dua anggota keluarga tersayang, Dick Lang, dan anak bongsunya, Clayton Lang, dalam keadaan dahsyat ini,” menurut keluarga mangsa dalam satu kenyataan.

Ketua Menteri Australia Selatan, Encik Steven Marshall, berkongsi bahawa kematian-kematian itu adalah berita yang tragik.

Sekitar 500 anggota bomba masih lagi bergelut untuk memadamkan kebakaran yang semakin marak itu, dengan lebih ramai lagi kakitangan dan sumber lain dikerahkan.

Kebakaran itu bermula sejak lewat Disember tetapi ia menjadi lebih dahsyat pada Jumaat disebabkan oleh keadaan cuaca yang panas dan berangin.

Sumber : Agensi berita/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita