Skip to main content

Dunia

Kebakaran belukar Australia merebak ke 3 daerah di pinggir Melbourne

Wilayah Victoria hari ini (30 Dis) mengharamkan sama sekali perbuatan menghidupkan api di tempat terbuka atau melakukan kegiatan yang boleh mencetuskan kebakaran seperti barbeku di luar rumah.

Anggaran Waktu Membaca:
Kebakaran belukar Australia merebak ke 3 daerah di pinggir Melbourne

Keadaan kebakaran belukar di Australia semakin membimbangkan pada 30 Dis 2019.

Diterbitkan : 30 Dec 2019 05:51PM Dikemas Kini : 30 Dec 2019 05:56PM

MELBOURNE: Keadaan kebakaran belukar di Australia semakin membimbangkan.

Wilayah Victoria hari ini (30 Dis) mengharamkan sama sekali perbuatan menghidupkan api di tempat terbuka atau melakukan kegiatan yang boleh mencetuskan kebakaran seperti barbeku di luar rumah.

Larangan itu dikuat kuasakan kerana cuaca yang kering, suhu tinggi dan angin kencang.

Sebahagian besar wilayah Victoria mengalami suhu melebihi 40 darjah Celsius hari ini.

Suhu di ibu kotanya, Melbourne, mencapai 41 darjah Celsius hari ini tetapi sesetengah kawasan di barat dayanya mengalami suhu setinggi 43 darjah Celsius.

Bahkan, kebakaran belukar kini sudah merebak ke tiga daerah di pinggir Melbourne.

Para penduduk Bundoora, Greensborough dan Mill Park dilaporkan diberitahu bahawa sudah terlambat untuk mereka meninggalkan rumah.

Lantaran itu mereka diminta segera mencari tempat berlindung.

Pada Ahad (29 Dis), lebih 30,000 orang di daerah East Gippsland diarahkan berpindah kerana kebakaran belukar mengancam nyawa dan rumah.

Media-media tempatan melaporkan bahawa tujuh amaran darurat sudah dikeluarkan bagi daerah East Gippsland setelah panahan petir mencetuskan 16 kebakaran baru malam semalam.

Secara keseluruhannya, para pegawai berkata lebih 70 kebakaran belukar sedang berlaku di wilayah Victoria.

Di wilayah New South Wales pula hampir 100 kebakaran belukar masih marak. 

Sumber : AFP/MU/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita