Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kebakaran bas sekolah Thailand: Pemandu diberkas; identiti 23 mangsa dikenal pasti

Polis Thailand memberkas pemandu bas yang membawa pelajar dan guru yang terbakar dan meragut nyawa 23 orang di pinggir bandar Bangkok, sedang keluarga para mangsa tiba di ibu kota Thailand itu untuk membantu mengenal pasti orang tersayang yang terkorban.

Anggaran Waktu Membaca:
BANGKOK: Polis Thailand memberkas pemandu bas yang membawa pelajar dan guru yang terbakar dan meragut nyawa 23 orang di pinggir bandar Bangkok, sedang keluarga para mangsa tiba di ibu kota Thailand itu untuk membantu mengenal pasti orang tersayang yang terkorban.

Bas yang membawa enam guru dan 39 pelajar sekolah rendah dan menengah itu sedang dalam perjalanan dari wilayah Uthai Thani, kira-kira 300 kilometer ke utara Bangkok, untuk lawatan sekolah ke wilayah Ayutthaya dan Nonthaburi pada Selasa (1 Okt).

Kebakaran bermula ketika bas itu berada di lebuh raya di utara ibu negara dan merebak dengan begitu pantas sehingga ramai yang tidak dapat menyelamatkan diri.

Trairong Phiwpan, ketua jabatan forensik polis, berkata 23 mayat ditemui daripada bas berkenaan.

Kerja-kerja pemulihan dan pengesahan jumlah kematian ditangguhkan sebelum ini kerana kenderaan yang terbakar, yang dijana gas asli, masih terlalu panas untuk dimasuki.

Keluarga-keluarga itu dipandu dari Uthai Thani dengan menaiki van ke jabatan forensik di Hospital Besar Polis di Bangkok pada Rabu (2 Okt) untuk memberikan sampel DNA mereka bagi proses pengecaman.

Kornchai Klaiklung, Penolong Ketua Polis Diraja Thailand, memberitahu para wartawan bahawa pasukan forensik sedang berusaha secepat mungkin untuk mengenal pasti identiti mangsa.

Pemandu yang dikenali sebagai Saman Chanput, menyerah diri pada petang Selasa, beberapa jam selepas kebakaran berlaku.

Polis telah mendakwanya kerana memandu secara melulu menyebabkan kematian dan kecederaan, gagal berhenti untuk membantu orang lain dan gagal melaporkan kemalangan itu.

Pemandu itu memberitahu para penyiasat bahawa dia memandu seperti biasa sehingga bas hilang imbangan pada tayar depan sebelah kiri, melanggar sebuah kereta lain dan mengikis penghadang lebuh raya konkrit, menyebabkan percikan api, kata timbalan ketua polis wilayah, Chayanont Meesati kepada para wartawan.

Pemandu itu berkata dia berlari untuk mengambil alat pemadam api dari bas lain yang dalam perjalanan yang sama tetapi dia tidak dapat memadamkan kebakaran dan melarikan diri kerana panik, kata Chayanont.

Polis berkata pihaknya juga sedang menyiasat sama ada syarikat bas itu mematuhi semua piawai keselamatan.
Sumber : AFP/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan