Keadaan jalan raya di Johor Bahru menghampakan, kata Menteri Kerja Raya M'sia
(Gambar: Tangkapan skrin video Alexander Nanta Linggi/Facebook)
JOHOR BAHRU: Menteri Kerja Raya Malaysia Alexander Nanta Linggi melahirkan rasa dukacita melihat keadaan jalan raya di bandar raya Johor Bahru.
Beliau yang meninjau beberapa jalan raya di daerah itu berkata, sebagai pengguna jalan raya, beliau memahami situasi dialami rakyat yang berdepan masalah jalan berlubang dan tidak disenggara sebaiknya.
"Sebentar tadi, saya turun melihat sendiri keadaan jalan raya di beberapa kawasan di bandar Johor Bahru yang kerap diadu kepada kami di kementerian.
"Antaranya adalah di kawasan Jalan Tebrau di hadapan Hotel Crystal Crown, Jalan Persimpangan Kampung Dato Sulaiman dan persimpangan Kampung Majidee.
"Memang agak mendukacitakan keadaan jalan di sini. Benarlah seperti yang diadukan oleh pengguna jalan raya," katanya menerusi kenyataan di akaun Facebooknya pada Selasa (9 Mei).
Beliau sudah memanggil jurutera Daerah Johor Bahru untuk mendapatkan penjelasan berkaitan keadaan jalan dan inisiatif Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah dalam menyelesaikan masalah berkenaan, Harian Metro memetik kata-kata Encik Nanta.
"Saya mahu ada tindakan berkesan diambil dalam masa terdekat, bukan lagi membiarkan pengguna terus menerus bersabar dengan keadaan itu.
"Saya juga akan mendapatkan laporan status keadaan jalan raya bermasalah dengan lebih kerap daripada JKR pusat dan negeri di seluruh negara bagi memastikan segala perancangan dilaksanakan dengan lancar," katanya, seperti dinukil Harian Metro.
Katanya lagi, isu penyenggaraan jalan tidak boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan keselamatan dan nyawa manusia.
Pada masa yang sama, beliau berharap semua yang terbabit dalam memastikan keadaan jalan raya dalam keadaan baik termasuk kakitangan kementerian, JKR, agensi atau syarikat konsesi dilantik, mengambil tanggungjawab dengan penuh amanah dan berintegriti.
"Saya mahu melihat ada perubahan berhubung cara semua pihak melaksanakan tanggungjawab penyelenggaraan jalan ini.
"Letakkan diri sendiri sebagai pengguna, jika kita rasa selamat dan selesa, pasti pelanggan iaitu rakyat juga berasa sedemikian.
"Tetapi, jika kita sendiri rasa sebaliknya, jangan hairan mengapa mereka marah dan tidak berpuas hati dengan kerja kita.
"Ingatlah, jangan ambil mudah tugas dan amanah penyelenggaraan jalan kerana akhirnya ia akan membabitkan soal keselamatan dan nyawa," tekan Encik Nanta.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.