Keadaan huru-hara di Bangunan Capitol; penyokong Trump cuba batalkan keputusan Pilihan Raya AS
Para pegawai polis yang dikerahkan ke bangunan Capitol pada Rabu (6 Jan) dilengkapi dengan senjata api dan gas pemedih mata untuk meleraikan para penunjuk perasaan yang menyerbu bangunan tersebut dan cuba memaksa Kongres supaya membatalkan keputusan Pilihan Raya Presiden.
Seorang penyokong Trump cuba melepasi hadangan polis di luar Capitol AS pada 6 Jan 2020 (Gambar: AP/Julio Cortez)
WASHINGTON: Para pegawai polis yang dikerahkan ke bangunan Capitol pada Rabu (6 Jan) dilengkapi dengan senjata api dan gas pemedih mata untuk meleraikan para penunjuk perasaan yang menyerbu bangunan tersebut dan cuba memaksa Kongres supaya membatalkan keputusan Pilihan Raya Presiden yang diadakan pada November lalu.
Ia berlaku tidak lama selepas sebilangan anggota Parti Republican yang menyokong Encik Trump melancarkan usaha untuk membatalkan keputusan tersebut.
Polis terpaksa mengosongkan Dewan Perwakilan dan Senat setelah para penunjuk perasaan pro-Trump menyerbu kedua-dua dewan untuk menghentikan perbincangan yang diadakan bagi mengesahkan kemenangan bakal Presiden Joe Biden dalam pilihan raya yang diadakan pada 3 November lalu.
Dalam kekecohan yang menyusul, seorang wanita ditembak dan dibawa ke hospital, di mana beliau disahkan meninggal dunia, menurut laporan USA Today.
Menurut Pentagon, Pasukan Pengawal Negara sudah dikerahkan untuk memberikan sokongan kepada pihak polis tempatan. Setakat ini, 13 orang sudah diberkas.
DAKWAAN TRUMP CETUS BANTAHAN
Awal dari itu, seorang penunjuk perasaan berteriak, "Trump pemenang pilihan raya itu".
Rakaman video menunjukkan para pegawai polis melepaskan gas pemedih mata di dalam bangunan tersebut.
Naib Presiden Mike Pence, yang menyelia sidang bersama Kongres, dibawa keluar dari bangunan Senat.
Keadaan huru-hara tercetus selepas Trump yang dijadual akan melepaskan jawatan pada 20 Januari, menyampaikan ucapan kepada beribu-ribu penunjuk perasaan, sambil mengulangi dakwaannya bahawa kemenangannya dalam pilihan raya itu dirampas dari genggamannya disebabkan oleh penipuan yang berlaku secara meluas dalam pilihan raya tersebut.
Para penggubal undang-undang turut membahaskan usaha saat-saat terakhir oleh para penggubal dasar pro-Trump untuk mencabar keputusan pilihan raya, dengan usaha tersebut tidak mungkin akan mengubah keputusan pilihan raya.
Para pengkritik menyifatkan tindakan penggubal undang-undang Republican itu sebagai satu serangan terhadap sistem demokrasi Amerika Syarikat dan kedaulatan undang-undang negara itu.
Dua anggota kanan Democrat dalam Kongres, Speaker Dewan Nancy Pelosi dan Senator Chuck Schumer, turut menggesa Presiden Trump supaya mengarahkan para penunjuk perasaan segera beredar dari bangunan Capitol dan kawasan di sekitar bangunan tersebut.
TRUMP SURUH PENYOKONG BEREDAR
Menyusuli serbuan yang dilancarkan oleh para penyokongnya, Presiden Trump semasa mengarahkan mereka supaya 'pulang ke rumah' sekali lagi mengulangi dakwaannya bahawa keputusan Pilihan Raya Presiden pada November lalu dicemari dengan penipuan yang meluas.
"Saya tahu kesakitan anda," kata Encik Trump dalam video selama seminit yang dimuat naik ke laman Twitter. "Pilihan raya ini dicuri dari kita.
"Tetapi anda harus pulang sekarang," katanya. "Kita harus mempunyai kedamaian. Kita harus mempunyai undang-undang dan ketertiban."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.