Skip to main content

Dunia

Keadaan di Gaza lebih teruk daripada kem tahanan Nazi: Erdogan

Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan menyifatkan keadaan kemanusiaan di Gaza lebih buruk daripada situasi di kem tahanan Nazi.

Anggaran Waktu Membaca:
Keadaan di Gaza lebih teruk daripada kem tahanan Nazi: Erdogan

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan. (Gambar fail: REUTERS)

ISTANBUL: Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan menyifatkan keadaan kemanusiaan di Gaza lebih buruk daripada situasi di kem tahanan Nazi.

Menurut Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA), beliau menyuarakan pandangan itu dalam ucapan lantangnya semasa Sesi ke-51 Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang diadakan di Istanbul.

“Dua juta saudara kita di Gaza bergelut untuk terus hidup selama 21 bulan dalam keadaan yang lebih dahsyat daripada kem tahanan Nazi,” kata Encik Erdogan.

Beliau menegaskan bahawa Turki akan meneruskan usahanya untuk mengenakan langkah paksaan terhadap Israel berasaskan undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Presiden Turki itu juga menyatakan bahawa lebih 55,000 orang maut dalam serangan Israel di Gaza, dengan lebih 65 peratus daripada mangsa terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

Encik Erdogan mendakwa Israel semakin mengamalkan dasar penjajahan, kemusnahan dan pembunuhan sejak dua tahun lalu, sambil memberi amaran bahawa Israel, dengan sokongan tanpa syarat kuasa-kuasa Barat, sedang menjerumuskan rantau itu ke arah ketidakstabilan yang lebih parah.

“Israel telah mengubah Gaza menjadi runtuhan di depan mata dunia,” kata Encik Erdogan.

“Ia mengebom hospital, sekolah, masjid dan gereja. Ia membunuh dengan kejam orang ramai yang sedang menunggu dalam barisan bantuan untuk mendapatkan sebungkus tepung, semangkuk sup atau sekeping roti kering.”

Beliau turut mengecam pembunuhan harian ratusan orang awam yang tidak bersalah oleh tentera Israel, kebanyakannya terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.

Encik Erdogan berkata Israel turut menyerang Lubnan, Yaman dan Syria, malah mendakwa Israel cuba mencetuskan kekacauan di Syria dengan menghasut pelbagai kumpulan supaya menentang pemerintah negara itu.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita