Skip to main content

Dunia

Keadaan banjir di Johor, Sabah beransur pulih

Anggaran Waktu Membaca:
Keadaan banjir di Johor, Sabah beransur pulih

Pelbagai barangan yang musnah akibat banjir dilonggokkan mangsa banjir di Kampung Seri Serdang, Johor Bahru. (Gambar: BERNAMA)

KUALA LUMPUR: Seramai 1,991 mangsa banjir masih ditempatkan di 21 pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor dan Sabah, berbanding 2,593 orang yang direkodkan pada Isnin malam (24 Mac). 

Di Johor, situasi banjir di negeri itu semakin baik dengan jumlah mangsa terus menurun kepada 1,853 orang setakat 8.00 pagi ini, berbanding 2,455 semalam dan semuanya ditempatkan di 20 PPS di lima daerah terjejas.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Dr Azmi Rohani berkata daerah Johor Bahru kekal mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan 680 orang, diikuti Batu Pahat (621), Pontian (410), Kluang (74) dan Kota Tinggi pula 68 orang.

“Dua PPS iaitu Dewan Majlis Perbandaran Kluang, Kahang dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kahang di Kluang ditutup malam tadi selepas semua mangsa dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing setelah banjir mulai surut dan keadaan di kawasan kediaman selamat," katanya dalam satu kenyataan. 

Beliau berkata keadaan cuaca di sembilan daerah di Johor diramalkan cerah kecuali Batu Pahat yang dijangka mendung pada pagi Selasa.

Di Sabah, jumlah mangsa banjir kekal 138 orang daripada 41 keluarga di Beaufort dan ditempatkan di PPS Dewan Selangon, pada pagi Selasa. 

Sekretariat JPBN Sabah memaklumkan lapan kampung terjejas banjir di Beaufort.
Sumber : Bernama/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita