Kazakhstan tolak laporan China wujud virus baru lebih berbahaya daripada COVID-19 di negara itu
Kazakhstan menolak amaran yang dikeluarkan kedutaan besar China pada Jumaat sebagai tidak benar, berhubung wujudnya jangkitan baru pneumonia tidak dikenali di negara itu yang dikatakan lebih berbahaya daripada COVID-19.

Orang ramai memakai pelitup ketika berjalan-jalan di kawasan beli-belah Sanlitun di Beijing, China, pada 1 Jul 2020. (Gambar: Tingshu Wang/REUTERS)
SHANGHAI: Kazakhstan menolak amaran yang dikeluarkan kedutaan besar China pada Jumaat sebagai tidak benar, berhubung wujudnya jangkitan baru pneumonia tidak dikenali di negara itu yang dikatakan lebih berbahaya daripada COVID-19.
Dalam satu kenyataan lewat Khamis, kedutaan China di akaun rasmi WeChat melaporkan "peningkatan ketara" kes radang paru-paru di negara bekas republik Soviet itu sejak pertengahan Jun.
Kementerian jagaan kesihatan Kazakhstan hari ini (10 Jul) menegaskan laporan media China berdasarkan kenyataan kedutaan itu sebagai "berita palsu".
Menurutnya jumlah kes jangkitan yang dilaporkan di negara itu sejajar dengan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
"Maklumat yang diterbitkan oelh beberapa media China berhubung jangkitan jenis baru radang paru-paru ini adalah tidak betul.
Kazakhstan melaksanakan perintah darurat kali kedua minggu ini untuk membendung penularan COVID-19. Negara itu mempunyai hanya 55,000 kes COVID-19 termasuk 264 kematian.
Kes jangkitan baru meningkat ke paras rekod baru pada Khamis sebanyak 1,962.
Selasa lalu, agensi rasmi negara itu melaporkan jumlah jangkitan radang paru-paru "meningkat sebanyak 2.2 peratus pada Jun berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu".
Kedutaan China menyatakan Kazakhstan menyaksikan 1,772 kematian akibat radang paru-paru pada separuh pertama tahun ini di mana 628 kes berlaku pada bulan Jun, yang turut melibatkan beberapa warga China.
“Angka kematian virus ini jauh lebih tinggi daripada virus korona baru,"kata kedutaan itu.
“Jabatan kesihatan Kazakhtan sedang melakukan kajian perbandingan mengenai virus pneumonia itu, namun masih belum dapat mengenal pasti virus tersebut,” tambah kedutaan itu dalam peringatan kepada rakyatnya di negara tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.