Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kazakhstan belum buat kesimpulan dakwaan pesawat Azerbaijan ditembak jatuh Rusia

Anggaran Waktu Membaca:
Kazakhstan belum buat kesimpulan dakwaan pesawat Azerbaijan ditembak jatuh Rusia

Pesawat Azerbaijan Airlines terhempas di bandar Aktau, Kazakhstan pada 25 Dis 2024. (Gambar: AFP/Issa Tazhenbayev)

Diterbitkan : 27 Dec 2024 07:10AM Dikemas Kini : 27 Dec 2024 07:11AM
ASTANA: Siasatan Kazakhstan masih belum membuat sebarang kesimpulan berhubung dakwaan pertahanan udara Rusia menembak jatuh pesawat Azerbaijan Airlines yang terhempas di Kazakhstan pada Rabu (25 Dis), kata Pendakwa Raya Pengangkutan Wilayah Mangystau, Abylaibek Ordabaev, pada Khamis (26 Dis).

Sebelum ini, empat sumber yang mempunyai pengetahuan tentang dapatan awal penyiasatan Azerbaijan berhubung kejadian itu memaklumkan kepada Reuters pada Khamis bahawa pertahanan udara Rusia menembak jatuh pesawat Azerbaijan Airlines yang terhempas di Kazakhstan, menyebabkan 38 orang terbunuh.
Pesawat Azerbaijan Airlines Penerbangan J2-8243 terhempas pada Rabu berhampiran bandar Aktau di Kazakhstan selepas mengubah haluan dari kawasan di selatan Rusia di mana Moscow telah menggunakan sistem pertahanan udara terhadap serangan dron Ukraine baru-baru ini.

Jet penumpang Embraer EMBR3.SA itu terbang dari ibu negara Azerbaijan, Baku, ke Grozny di wilayah Chechnya, Rusia, sebelum melencong ratusan batu melintasi Laut Kaspia.

Pesawat itu terhempas di pantai bertentangan Laut Kaspia selepas apa yang didakwa oleh badan pemerhati penerbangan Rusia sebelum ini sebagai kecemasan yang mungkin dikaitkan dengan perlanggaran pesawat dengan sekumpulan burung.

Pihak berkuasa tidak menjelaskan mengapa pesawat itu menyeberangi laut, tetapi kemalangan itu berlaku selepas serangan dron Ukraine bulan ini yang mengenai Chechnya. Lapangan terbang Rusia yang terdekat dengan laluan penerbangan pesawat itu ditutup pada pagi Rabu.

Seorang daripada sumber Azerbaijan yang mengetahui tentang siasatan Azerbaijan terhadap kemalangan itu memberitahu Reuters bahawa keputusan awal menunjukkan pesawat berkenaan telah diserang oleh sistem pertahanan udara Pantsir-S Rusia, dan komunikasinya terjejas oleh sistem peperangan elektronik semasa menghampiri Grozny.

"Tiada siapa yang mendakwa ia dilakukan dengan sengaja. Bagaimanapun, mengambil kira fakta yang telah ditetapkan, Baku menjangka pihak Rusia akan mengaku menembak jatuh pesawat Azerbaijan itu," kata sumber. 

Tiga sumber lain mengesahkan bahawa siasatan Azerbaijan telah mencapai kesimpulan awal yang sama. Kementerian Pertahanan Rusia tidak memberi respons terhadap permintaan untuk komen.

Kremlin, ketika ditanya sebelum laporan Reuters mengenai idea bahawa pesawat itu telah ditembak oleh pertahanan udara Rusia, berkata siasatan sedang dijalankan dan adalah tidak wajar untuk mengulas sehingga siasatan itu membuat kesimpulan sendiri.

KOTAK HITAM DITEMUI

Satu lagi kotak hitam ditemukan di lokasi nahas pesawat Azerbaijan Airlines berhampiran Aktau, Kazakhstan, kata Pendakwa Pengangkutan Wilayah Mangystau Kazakhstan, Abylaibek Ordabaev pada Khamis, menurut agensi berita Sputnik/RIA Novosti.

"Dua perakam penerbangan telah ditemukan dan akan diserahkan kepada Bahagian Penyiasatan Kemalangan dan Insiden Penerbangan untuk dianalisis," kata Encik Ordabaev, seperti yang dipetik oleh agensi berita Kazinform.

Agensi penguat kuasa undang-undang Rusia dan Azerbaijan akan turut serta dalam siasatan nahas pesawat berkenaan, tambah laporan itu.
Sumber : Reuters/BERNAMA/NK/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan