Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kawalan sekatan ke atas pelawat China menghampakan industri pelancongan Korea Selatan

Anggaran Waktu Membaca:

SEOUL: Kawalan sempadan yang baru dikuatkuasakan pemerintah Korea Selatan ke atas pelawat China di tengah-tengah kebangkitan semula COVID-19 di China mendapat respons yang berbeza-beza.

Ini memandangkan kawalan itu dikuatkuasakan sedang industri pelancongan menantikan kedatangan pelancong dari negara paling ramai penduduk di dunia itu.

Pelancong dari China membentuk sebahagian besar pelawat ke Korea Selatan sebelum pandemik COVID-19, lapor South China Morning Post. 

Menurut sekatan yang diumumkan pada Jumaat (30 Dis), Korea Selatan akan mewajibkan pelawat China yang tiba di negara itu untuk mengambil ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) dan menyerahkan keputusan yang negatif - keputusan ujian PCR yang diambil 48 jam sebelum memasuki negara itu atau keputusan ujian antigen pantas (RAT) yang diambil dalam masa 24 jam sebelum ketibaan di Korea Selatan mulai 5 Januari.

Selain itu, pemerintah Korea Selatan turut menghadkan jumlah pelawat China dengan tidak mengeluarkan visa jangka pendek kepada warga China sepanjang Januari, kecuali atas sebab diplomatik, perniagaan atau kemanusiaan. 

Pesawat dari China hanya boleh mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon. 
 
Pada Isnin (2 Jan), syarikat penerbangan Korean Air berkata ia akan membatalkan rancangannya untuk meningkatkan jumlah penerbangan ke China bulan ini, menyusuli garis panduan baru pemerintah Korea Selatan itu.

Langkah kawalan sempadan terkini ke atas China itu "menjejas harapan industri pelancongan untuk pulih", kata seorang pegawai Mode Travel, sebuah agensi pelancongan di Korea Selatan, kepada The Korea Times. 

Syarikat tersebut menubuhkan semula sebuah pasukan khas untuk menguruskan perjalanan ke China dan juga sudah bersiap sedia untuk menerima kedatangan pelawat dari China, katanya. 

Bagaimanapun, sumber lain berkata industri pelancongan “tidak menjangkakan pemulihan perjalanan masuk yang mendadak dari China dalam masa terdekat kerana pelancong China lebih cenderung melawat Korea pada musim bunga dan bukan sewaktu musim sejuk.

"Kelewatan kemasukan pelancong China selama beberapa bulan besar kemungkinan tidak akan menjejas teruk industri tersebut" katanya walaupun mengakui bahawa jika kawalan sempadan ke atas China berterusan sehingga musim bunga yang sibuk, ia boleh menimbulkan kebimbangan dalam industri.

Laman web pelancongan online China, Tongcheng Travel, menyatakan jumlah pencarian berhubung perjalanan ke luar negara melonjak sebaik selepas pengumuman pemerintah China. Ia termasuk 8.5 kali lebih banyak pencarian bagi penerbangan, manakala pencarian berhubung visa melonjak 8.5 kali. Korea Selatan merupakan antara destinasi pelancongan yang paling banyak dicari, termasuk Jepun dan Thailand. 

Menurut agensi pelancongan China, Ctrip, jumlah pencarian bagi penerbangan ke Korea Selatan meningkat sebanyak 158 peratus sehari selepas pengumuman pemerintah China. Destinasi yang paling banyak dicari termasuk Seoul, Busan dan Pulau Jeju, yang masing-masing meningkat 177, 165 dan 46 peratus, berbanding sehari sebelum itu. Kadar tempahan bagi penerbangan ke Korea Selatan melonjak 400 peratus pada 27 Disember. 

Industri pelancongan Korea sudah lama menantikan kedatangan pelawat dari China, yang membentuk sepertiga bilangan warga asing yang melawat Korea sebelum pandemik. China juga merupakan sumber pendapatan tertinggi industri pelancongan Korea, memandangkan lebih enam juta warga China mengunjungi negara itu setiap tahun. Bagaimanapun, jumlahnya menjunam kepada sekitar 170,000 tahun lalu, menurut Pertubuhan Pelancongan Korea (KTO). 

Beberapa negara lain termasuk Amerika Syarikat, Jepun dan Perancis turut mengenakan langkah kawalan sempadan ke atas China.

Sumber : Agensi berita/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan