Kata dua mahkamah kepada Najib: hadir prosiding online atau dikenakan waran tangkap
Mahkamah Rayuan Malaysia pada Selasa (7 Dis) menegaskan ia boleh mengeluarkan waran tangkap kepada Najib Razak untuk dibawa ke mahkamah berikutan kegagalan beliau untuk hadir pada prosiding permohonan.
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan Malaysia pada Selasa (7 Dis) menegaskan ia boleh mengeluarkan waran tangkap kepada Najib Razak untuk dibawa ke mahkamah berikutan kegagalan bekas perdana menteri itu hadir pada prosiding permohonan beliau untuk memasukkan bukti baru dalam rayuan sabitan kes SRC International Sdn Bhd, hari ini.
Hakim Abdul Karim Abdul Jalil yang mempengerusikan panel tiga hakim berkata mahkamah mempunyai dua pilihan sama ada untuk membatalkan wang ikat jamin dan mengeluarkan waran tangkap ke atas Najib untuk dibawa ke mahkamah serta-merta atau mengadakan prosiding secara online.
“Kami bagi dua pilihan, pertama, kami boleh membatalkan jaminan dan wang jaminan boleh dirampas. Kami akan mengeluarkan waran tangkap dan menangkap Najib serta-merta dan dibawa ke mahkamah.
“Pilihan kedua, mengikut Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (COJA), mengadakan prosiding melalui online tanpa mendapatkan persetujuan kedua belah pihak.
“Kami ada pengalaman prosiding dijalankan melalui online walaupun pihak-pihak berada di United Kingdom, Amerika Syarikat, Jepun. Ini kan pula di Malaysia,” kata kata Hakim Abdul Karim yang bersidang bersama Hakim Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera.
Hakim Abdul Karim juga memutuskan untuk meneruskan prosiding keputusan rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman berhubung penyelewengan dana SRC, yang ditetapkan esok.
Terdahulu, peguam Harvinder Singh Sidhu yang mewakili Najib, memohon prosiding hari ini dan esok ditangguhkan berikutan peguam pasukan pembelaan menjadi kontak kasual kepada anak peguam Muhammad Shafee Abdullah iaitu Muhammad Farhan yang disahkan positif COVID-19.
“Saya mahu kamu maklumkan kepada pihak peguam yang mereka boleh bekerja dari rumah. Esok tetap esok, kami belum buat keputusan untuk tangguh. Kita dengar permohonan (memasukkan bukti baaru) hari ini. Ia (esok) hanya untuk keputusan, semua hujahan sudah tamat enam bulan lalu.
“Ini adalah arahan saya, kes hari ini akan didengar pada jam 12.30 tengah hari ini. Saya akan putuskan dengan sewajarnya hari ini,” kata Hakim Abdul Karim.
Pada 1 Dis lepas, Najib memfailkan permohonan itu memohon Mahkamah Rayuan membenarkan dan mengarahkan agar keterangan viva voce (lisan) diambil daripada bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, Pegawai Penyiasat SPRM Rosli Hussein, yang merupakan saksi pendakwaan ke-57 dalam kes SRC dan keterangan saksi lain atau apa-apa keterangan tambahan lanjut yang berbangkit.
Najib, 68, berkata beliau membuat permohonan itu susulan siaran akhbar oleh SPRM pada 19 Nov lepas berhubung aset dana 1MDB antaranya dari Singapura yang menyaksikan kerajaan republik itu telah memulangkan sejumlah AS$15.4 juta (S$21 juta) kepada Malaysia berkaitan akaun Cutting-Edge Industries Ltd (CEIL) milik Dr Tawfiq Ayman, suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Dr Zeti Akhtar Aziz.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.