Skip to main content

Dunia

Kastam Malaysia rampas 73 pek kurma Israel

Anggaran Waktu Membaca:
KLANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 73 pek buah kurma disyaki produk dari Israel dalam satu serbuan di sebuah gudang penyimpanan makanan di Klang, Selangor, pada Selasa (12 Mac).

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Sazali Mohamad berkata dalam serbuan pada pukul 11.30 pagi itu, pihaknya menemukan produk dengan label 'Organic Jumbo Medjool Dates' dipercayai dibawa masuk secara pukal dan dibungkus semula untuk dijual di pasaran tempatan.

"Sebanyak 14.6 kilogram pek buah kurma bernilai RM678 (S$193) dirampas dan pemeriksaan ke atas spesifikasi produk pada pek berkenaan juga menemukan perkataan ‘produk buatan Israel’. Kita percaya kurma ini dibawa masuk dari sebuah negara eropah sejak 2022," katanya pada sidang media di Klang pada Rabu (13 Mac).

Beliau berkata, seorang lelaki tempatan dipercayai pemilik perniagaan tersebut ditahan bagi membantu siasatan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1967, yang memperuntukkan denda tidak lebih RM500,000 (S$142,000) atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Encik Sazali berkata, serbuan dan pemeriksaan itu dilakukan susulan video tular di media sosial baru-baru ini, berkenaan sebuah premis menjual buah kurma yang disyaki produk dari Israel.
Sumber : Bernama/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita