Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kastam M'sia patahkan percubaan seludup masuk air zam-zam bernilai RM2.53 juta

Cubaan tiga syarikat menyeludup masuk 112,560 liter air zam-zam dianggarkan bernilai RM2.53 juta (S$827,750) menerusi lima kontena digagalkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor dalam dua pemeriksaan di Pelabuhan Barat di sini, baru-baru ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Kastam M'sia patahkan percubaan seludup masuk air zam-zam bernilai RM2.53 juta

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan) JKDM Putrajaya, Abdul Latif Abdul Kadir (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 25 Dec 2019 09:05AM Dikemas Kini : 25 Dec 2019 01:22PM

PELABUHAN KLANG: Cubaan tiga syarikat menyeludup masuk 112,560 liter air zam-zam dianggarkan bernilai RM2.53 juta (S$827,750) menerusi lima kontena digagalkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor dalam dua pemeriksaan di Pelabuhan Barat di sini, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan/Pematuhan) JKDM Putrajaya, Abdul Latif Abdul Kadir berkata dalam pemeriksaan pertama pada 7 Okt lepas, sebanyak 38,850 liter air zam-zam yang diisi dalam 3,885 botol 10 liter dianggarkan bernilai RM874,125 (S$285,990) ditemui disorokkan dalam dua kontena yang diisytihar oleh pengimportnya sebagai barang makanan dari Timur Tengah.

Dalam pemeriksaan kedua pada 16 Dis lepas pula katanya, sebanyak 73,710 liter air zam-zam yang diisi dalam 7,371 botol 10 liter dianggarkan bernilai RM1.65 juta (S$539,830) ditemui dalam tiga kontena diisytihar oleh pengimportnya membawa barangan kelengkapan rumah.

"Air zam-zam merupakan barang yang dilarang untuk dieksport secara komersial oleh Kerajaan Arab Saudi. Malah tiga syarikat terlibat dalam kes ini pula tidak mempunyai permit membawa masuk air zam-zam daripada Jabatan Kesihatan Malaysia.

"Sekarang ini, kita lihat air zam-zam banyak dijual dalam pasaran namun tidak dapat dipastikan ketulenannya. Jadi, kes seperti ini harus diketengahkan supaya masyarakat tidak tertipu," katanya dalam sidang media pada Selasa (24 Dis).

Mengulas lanjut, Encik Abdul Latif berkata siasatan awal mendapati modus operandi ketiga-tiga syarikat yang menjalankan perdagangan tekstil itu adalah sama dan pihaknya tidak menolak kemungkinan ia berkaitan antara satu sama lain.

Katanya, pengarah-pengarah syarikat warga tempatan itu termasuk pengarah syarikat ejen penghantaran berkaitan sedang disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.

Dalam pada itu katanya, JKDM Selangor turut menumpaskan sindiket penyeludupan minuman keras dan rokok putih dalam dua pemeriksaan di sekitar Pelabuhan Klang di sini pada 17 dan 19 Dis lepas.

Encik Abdul Latif berkata dalam pemeriksaan pada 17 Dis di sebuah gudang di sini, pihaknya merampas 27,209 liter minuman keras berjenama tanpa duti kastam, disorokkan dalam sebuah kontena yang diisytihar pengimportnya membawa mesin jet air.

Katanya, minuman keras dalam tin dan botol itu dianggarkan bernilai RM136,046 (S$44,510) dan melibatkan duti cukai sebanyak RM425,145 (S$139,100).

"Pemeriksaan pada 19 Dis di Pelabuhan Utara pula menemukan sembilan juta batang rokok putih dianggarkan bernilai RM720,000(S$235,560) dengan jumlah cukai RM4.15 juta (S$1.36 juta) dalam sebuah kontena yang diisytihar membawa barangan keperluan peribadi.

"Kastam sedang memburu sindiket dan pihak terlibat yang cuba menyeludup masuk kedua-dua jenis barangan tersebut dan kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976," katanya.

Justeru kata Encik Abdul Latif, pihaknya menggesa masyarakat supaya menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dan memberi jaminan, identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.

Sumber : Bernama/TQ/tq

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa