Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kastam Johor rampas barangan seludup, air zam zam palsu bernilai RM3 juta

Anggaran Waktu Membaca:
JOHOR BAHRU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya merampas minuman keras, rokok, motosikal berkuasa tinggi dan air zam zam palsu bernilai RM3 juta (S$931,109) termasuk cukai.

Pengarah JKDM negeri, Sazali Mohamad berkata kesemua rampasan dilakukan menerusi lapan serbuan berasingan di sekitar Johor dan Selangor antara 9 Jun hingga 2 Ogos lalu.

Katanya, lapan individu berusia lingkungan 22 hingga 44 tahun terdiri daripada tiga lelaki warga tempatan, tiga lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki Yaman dan seorang wanita Vietnam ditahan bagi membantu siasatan.

"JKDM Johor berjaya menggagalkan cubaan menyeludup minuman keras pelbagai jenama bernilai RM2.87 juta (S$890,761) menerusi enam serbuan berasingan termasuk di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah; Pelabuhan Johor, Pasir Gudang; Kawasan Perindustrian Air Hitam, Klang dan Shah Alam antara 9 Jun hingga 2 Ogos lalu.

"Antara modus operandi digunakan bagi mengaburi pihak penguat kuasa ialah menyimpan arak di bahagian tengah kontena yang dicampur dengan pelbagai barangan lain dan membuat pengikraran barangan yang mengelirukan," katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Johor di Johor Bahru pada Ahad (28 Ogos).

Beliau berkata operasi berkenaan turut menemukan 33,600 bungkusan rokok putih seludup yang dianggarkan bernilai RM22,600 (S$7,014) berserta cukai.

Sementara itu, Encik Sazali berkata pihaknya juga merampas tujuh motosikal berkuasa tinggi pelbagai jenama dan satu motosikal mini dalam satu serbuan yang dijalankan di sebuah rumah di Taman Perling, di Johor Bahru, pada 25 Julai lalu.

Menurutnya kesemua motosikal yang dianggarkan bernilai RM876,000 (S$271,884) termasuk duti itu diseludup masuk dari negara jiran melalui laluan darat.

Katanya, JKDM Johor turut menyerbu sebuah kilang haram memproses air zamzam palsu di Taman Ekoperniagaan 2, Senai Airport City, pada 15 Jun lepas melibatkan rampasan berjumlah RM11,700 (S$3,631).

Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967.
Sumber : Bernama/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan