Kastam Indonesia dedah rakaman CCTV percubaan juruterbang Malaysia seludup 25kg dadah
Direktorat Jeneral Kastam dan Eksais Indonesia (Bea Cukai) mendedahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan pergerakan seorang juruterbang warga Malaysia yang ditahan minggu lalu. (Gambar: Petikan video dari Instagram/Bea Cukai Soekarno-Hatta)
- Seorang juruterbang Malaysia diberkas di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta pada 29 Julai kerana disyaki cuba menyeludup 25 kg Ecstasy bernilai Rp60 bilion ke Indonesia.
- Rakaman CCTV menunjukkan suspek menggunakan lorong khas kru dan menyembunyikan dadah dalam beg pakaian, sebelum dikesan melalui pemeriksaan kastam dan pemprofilan risiko.
- Pihak berkuasa Indonesia mendapati suspek positif dadah, pernah menyeludup sebelum ini, dan dijanjikan upah RM50,000; air kencing palsu turut ditemui dalam bagasi.
- Kedutaan Malaysia telah diberi akses konsular, manakala MAHB menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam menangani kes ini.
Video yang dimuat naik ke akaun Instagram rasmi Bea Cukai pada Isnin (3 Ogos) menunjukkan suspek berusia 39 tahun, yang memakai pakaian seragam juruterbang, mengambil sebuah beg pakaian berwarna perak bersaiz besar dari tempat pengambilan bagasi sambil menarik sebuah lagi beg berwarna hitam, sebelum berjalan melalui ruang ketibaan menuju ke kawasan pemeriksaan kastam.
Menurut naratif video tersebut, suspek memasuki lorong khas pantas untuk kru penerbangan sebelum diarahkan ke bilik pemeriksaan kastam bagi pemeriksaan lanjut setelah pegawai mengenal pastinya melalui proses pemprofilan risiko.
Rakaman itu kemudian beralih kepada proses pemeriksaan bagasi yang memaparkan pegawai kastam membuka beg berwarna kelabu dan mengeluarkan pakaian serta barangan lain, sebelum menemui beberapa bungkusan berwarna perang yang disembunyikan di bahagian bawah.
Rakaman jarak dekat menunjukkan pegawai kastam memeriksa dan mengeluarkan bungkusan daripada beg pakaian, sedang suspek disoal siasat semasa pemeriksaan itu dijalankan.
Video tersebut berakhir dengan para pegawai menunjukkan sebotol kecil cecair yang, menurut naratif dalam video itu adalah air kencing palsu dipercayai bertujuan untuk memanipulasi keputusan ujian air kencing.
Pihak berkuasa Indonesia, dalam sidang medianya pada Jumaat, menyatakan juruterbang warga Malaysia itu diberkas pada 29 Julai selepas didakwa cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram dadah jenis Ecstasy, yang bernilai sekitar Rp60 bilion (S$4.2 juta) ke dalam negara itu.
Pihak berkuasa turut mendakwa juruterbang tersebut didapati positif MDMA, methamphetamine dan kokain, pernah menyeludup dadah ke Indonesia sebelum ini, serta menyalahgunakan sistem pengendalian bagasi khas kru dengan menyembunyikan dadah tersebut di bawah pakaian di dalam beg yang mempunyai tag tuntutan bagasi kru.
Siasatan awal turut menunjukkan suspek dijanjikan upah RM50,000 (S$15,645) untuk melaksanakan operasi penyeludupan itu, sedang pihak berkuasa terus memburu individu yang disyaki sebagai dalang di sebalik sindiket berkenaan.
Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta mengesahkan pada Isnin bahawa ia sudah diberikan akses konsular kepada warga Malaysia tersebut dan sudah pun menghubungi keluarganya.
Secara berasingan, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) pada Isnin menegaskan semula komitmennya untuk menyokong usaha pelbagai agensi dalam melindungi sempadan Malaysia daripada aktiviti haram, sambil menyatakan kesediaan untuk memberikan sebarang bantuan yang diperlukan berhubung kes tersebut serta terus bekerjasama rapat dengan pihak penguat kuasa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.