Skip to main content

Dunia

Kasih sayang suri rumah ini terhadap haiwan tiada batasan

Sejak 13 tahun lepas, jadual seharian suri rumah ini bukan sahaja padat dengan tugas menguruskan rumah tangga, malah beliau sibuk memasak dan menyediakan makanan untuk ‘dijamu’ kepada haiwan-haiwan jalanan terutama anjing.

Anggaran Waktu Membaca:
Kasih sayang suri rumah ini terhadap haiwan tiada batasan

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 05 Jun 2021 01:25PM Dikemas Kini : 05 Jun 2021 01:30PM

KUALA TERENGGANU: Sejak 13 tahun lepas, jadual seharian suri rumah ini bukan sahaja padat dengan tugas menguruskan rumah tangga, malah beliau sibuk memasak dan menyediakan makanan untuk ‘dijamu’ kepada haiwan-haiwan jalanan terutama anjing.

Pada sebelah malam pula, wanita berbangsa Melayu berusia 53 tahun yang hanya ingin dikenali sebagai Kak Wa itu akan melakukan rutinnya memberi makan kepada kira-kira 40 ekor anjing jalanan di sekitar Kuala Terengganu. 

Merasakan anjing juga adalah makhluk ciptaan Tuhan yang perlu dilindungi dan tidak wajar dizalimi, ahli Persatuan Penyelamat Haiwan Terbiar Terengganu (TSAR) itu menepis stigma masyarakat Melayu di Malaysia terhadap anjing dengan turut merawat haiwan tersebut yang cedera atau sakit.

“Anjing juga makhluk bernyawa yang tahu rasa sakit, lapar dan sedih. Tidak seperti kucing, anjing susah untuk ke mana-mana terutama pada waktu siang kerana takut berhadapan dengan orang ramai.

"Lagipun terdapat jurang yang besar antara masyarakat kita dengan anjing berbanding kucing. Jadi, nasib haiwan tersebut kurang mendapat pembelaan,” katanya ketika ditemui Bernama semasa memberi makanan kepada anjing jalanan hari ini (5 Jun).

Kak Wa juga lebih gemar memberi makan kepada anjing jalanan pada waktu malam berbanding siang kerana ingin mengelak pandangan serong orang ramai terhadapnya.

“Sekiranya kita tidak boleh ubah pandangan orang terhadap kita, jadi kita sendiri yang perlu ubah cara kita. Sebab itu Kak Wa pilih waktu malam untuk beri makan kepada anjing.

"Selalunya sampai pukul 2 hingga 3 pagi Kak Wa bersama anjing-anjing jalanan kerana waktu itu tiada orang yang nampak,” katanya yang turut memberi makanan kepada puluhan ekor kucing jalanan setiap hari.

Bagaimanapun, ibu kepada dua anak itu memahami sensitiviti masyarakat terutama umat Islam di negara itu terhadap anjing memandangkan agama Islam melarang haiwan tersebut disentuh secara sembarangan.

“Niat Kak Wa hanya ingin menyelamatkan anjing. Bukannya Kak Wa pegang suka-suka atau peluk cium anjing-anjing itu. Dalam Islam kan seseorang itu boleh melakukan proses sertu apabila tersentuh anjing,” katanya.

Ternyata kasih sayang Kak Wa terhadap haiwan tidak terbatas apabila beliau sanggup memberi perlindungan kepada 15 ekor anjing dan 30 ekor kucing jalanan yang diselamatkannya dan menempatkan haiwan tersebut di satu kawasan di Marang.

Sementara itu, Pengerusi TSAR Janet Tan berkata secara keseluruhan lebih 200 ekor anjing terbiar diberi makanan setiap hari oleh kira-kira 15 anggota persatuan termasuk empat daripada mereka berbangsa Melayu, secara bergilir-gilir di setiap lokasi terpilih.

Katanya, hasil sumbangan orang ramai dan peruntukan yang dikeluarkan sendiri oleh ahli-ahli persatuan, sebanyak 200 kilogram makanan kering, 100 kilogram beras dan 100 kilogram makanan mentah seperti ayam dan daging disediakan setiap bulan untuk diberikan kepada anjing jalanan.

Setiap hari ahli persatuan yang ditubuhkan pada November 2018 itu akan memasak nasi dan merebus bahan makanan mentah seperti ayam dan daging sebelum diberi kepada anjing jalanan bagi menjamin kualiti makanan dan kesihatan haiwan itu.

“Kami bersyukur kerana walaupun tidak ramai tetapi masih ada yang sudi menyumbang seperti orang perseorangan yang memberikan tanah di Kampung Tiruk di sini untuk kami bina pusat perlindungan anjing dan ada restoran yang memberi bekalan nasi serta bahan mentah kepada anjing-anjing jalanan,” katanya sambil memaklumkan pusat perlindungan anjing tersebut kini menempatkan lebih 30 ekor anjing jalanan yang telah diselamatkan.

Beliau berkata selain anjing, ahli-ahli TSAR turut memberi makan kepada kucing jalanan di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Tan turut melahirkan rasa sedihnya atas sikap segelintir individu yang menganiaya anjing-anjing jalanan sehingga ada yang tergamak memukul dan memberi racun kepada haiwan tersebut. 

“Paling sedih sekiranya mereka bunuh ibu anjing yang baru sahaja melahirkan anak. Tidakkah mereka terfikir bagaimana pula nasib anak-anak anjing itu selepas ketiadaan ibunya?” katanya. 

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita