Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Karya seni unik gunakan hieroglif untuk terjemah penggunaan telefon bijak

Anggaran Waktu Membaca:
SHAH ALAM: Elemen aksara zaman Mesir Purba iaitu, Hieroglif dan warna foto negatif yang digabungkan dalam lukisan 'Imaginasi Pintar + Komunikasi' adalah antara karya seni menarik yang ditonjolkan pada Pameran Terbuka Galeri Shah Alam 2022 (PTGSA22) di Galeri Shah Alam.

Pelukisnya, Salyuddin Yusof, 47 tahun, berkata karyanya itu menterjemahkan aktiviti penggunaan telefon pintar menggunakan konsep Hieroglif iaitu medium komunikasi zaman Mesir Purba berbentuk simbol dan abjad dengan maksud tertentu.

Lebih menarik, beliau berkata lukisan yang mengambil masa kira-kira sebulan untuk disiapkan itu turut menggunakan warna foto negatif dan pengunjung yang ingin melihat kombinasi warna sebenar perlu mengimbas lukisan tersebut menggunakan aplikasi kamera khas di telefon pintar, lapor Astro Awani.

Keunikan karya tersebut membuatkan pelukis dari Kuala Terengganu, Terengganu itu terpilih sebagai antara lima penerima Anugerah Insentif pada pameran kali ini.

"Saya anggap idea ini (konsep Hieroglif) unik kerana jika kita sampai mesej secara langsung, ia agak bosan. Jadi, saya cuba olahkan untuk mendapat perhatian ketika proses penjurian."

"Saya ambil masa lebih sebulan untuk menyiapkan karya ini dengan menonton banyak dokumentari berkaitan sejarah Mesir Purba, selain berbekalkan pengalaman sebagai pereka grafik selama 20 tahun untuk mengolah simbol-simbol dalam karya ini," katanya kepada pemberita di Shah Alam pada Selasa (10 Jan).

Penolong Kurator Galeri Shah Alam Nur Syafiqah Zainal berkata PTGSA22 kali ini mempamerkan 134 karya seni halus meliputi lukisan dua dimensi dan arca yang disaring oleh barisan panel juri dilantik pihak Galeri Shah Alam, menurut Astro Awani.

Katanya sebanyak 200 karya dihantar untuk proses penjurian yang meliputi lima aspek iaitu idea, konteks, kekemasan, karya akhir dan bahan yang digunakan.

"Pada pameran sebelum ini, kami menghadapi kekangan dari segi penghantaran karya susulan pandemik COVID-19 menyebabkan kami hanya menerima 100 penyertaan sahaja.

"Namun, penghantaran karya untuk pameran kali ini meningkat sekali ganda, malah karya yang dihantar juga berkualiti menyebabkan juri mengalami kesukaran untuk memilih hasil seni terbaik," katanya.
 
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan