Kartunis Sweden yang lukis gambar Nabi Muhammad maut kemalangan
Kartunis Sweden Lars Vilks, yang hidup di bawah perlindungan polis setelah lukisannya pada 2007 yang menggambarkan Nabi Muhammad mencetuskan ancaman bunuh, meninggal dunia pada Ahad (3 Okt) dalam kemalangan jalan raya.

Gambar fail kartunis Sweden, Lars Vilks, semasa temu bual dengan AFP di Stockholm pada 11 Mac 2010. (Gambar: FRANCOIS CAMPREDON/AFP)
STOCKHOLM: Kartunis Sweden Lars Vilks, yang hidup di bawah perlindungan polis setelah lukisannya pada 2007 yang menggambarkan Nabi Muhammad mencetuskan ancaman bunuh, meninggal dunia pada Ahad (3 Okt) dalam kemalangan jalan raya.
Lelaki 75 tahun itu dan dua pegawai polis maut dalam pelanggaran dengan trak yang datang dari arah bertentangan, polis Sweden mengesahkan kepada AFP.
"Ia disiasat seperti kemalangan jalan raya yang lain. Oleh kerana dua anggota polis terlibat, siasatan sudah ditugaskan ke bahagian khas pejabat pendakwa," kata jurucakap polis kepada AFP, sambil menambah bahawa tiada perbuatan khianat disyaki.
Kemalangan berlaku berdekatan dengan bandar kecil Markaryd ketika kereta yang dinaiki Vilks melanggar sebuah trak yang datang dari arah bertentangan. Kedua-dua kenderaan terbakar dan pemandu lori itu dimasukkan ke hospital, menurut polis.
Dalam satu kenyataan, polis menyatakan punca kemalangan tidak jelas.
"Orang yang kami lindungi dan dua rakan kerja kami meninggal dalam tragedi yang tidak dapat dibayangkan dan sangat menyedihkan ini," kata ketua polis wilayah Carina Persson.
Vilks berada di bawah perlindungan polis sejak kartun yang dilukisnya pada 2007, menggambarkan Nabi Muhammad dengan tubuh anjing, menimbulkan kemarahan.
Al-Qaeda menawarkan ganjaran AS$100,000 (S$135,730) untuk pembunuhan Vilks.
Lukisan itu juga mencetuskan ketegangan diplomatik, dengan perdana menteri Sweden ketika itu Fredrik Reinfeldt bertemu duta-duta besar dari beberapa negara Islam untuk meredakan ketegangan.
Pada 2015, Vilks terselamat daripada serangan bersenjata dalam satu sidang tentang kebebasan bersuara di Copenhagen yang menyebabkan seorang pengarah filem Denmark maut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.