Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Kartel daging: 4 pegawai pemeriksaan dikenakan tuduhan rasuah

Empat penolong pegawai penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan seorang pemilik syarikat logistik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan rasuah dan mengemukakan butiran palsu berhubung kes kartel daging.

Anggaran Waktu Membaca:
Kartel daging: 4 pegawai pemeriksaan dikenakan tuduhan rasuah

(Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 24 May 2021 01:20AM Dikemas Kini : 24 May 2021 01:22AM

JOHOR BAHRU: Empat penolong pegawai penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan seorang pemilik syarikat logistik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan rasuah dan mengemukakan butiran palsu berhubung kes kartel daging.

Petugas MAQIS Mohd Hafizan Khalid, 44 tahun dan Nor Azlan Mat Suki, 40 tahun, serta pemilik syarikat Abdul Latif A Rahman, 55 tahun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail. 

Dua lagi kakitangan MAQIS - Mohammad Sofyan Mohd Zin, 27 tahun, dan Khairul Izat Sulaiman, 31 tahun, mengaku bersalah, masing-masing atas satu pertuduhan menerima wang suapan sebanyak RM30 (S$9.60) dan RM100 (S$32.00) pada 5 Okt 2020 dan 10 Nov 2020. Mereka dikatakan berbuat demikian bagi mempercepat proses pemeriksaan dokumen dan fizikal konsainan, yang mana mereka gagal melaporkan pemberian penyogokan kepada SPRM.

Khairul Izat, yang diwakili peguam S. Selvam, dijatuhi hukuman denda RM1,500 (S$482.00) atau penjara sebulan jika gagal membayar denda itu manakala kes Mohd Hafizan, Nor Azlan, Abdul Latif dan Mohammad Sofyan akan disebut semula pada 29 Jun.

Mohd Hafizan didakwa menerima suapan wang tunai RM2,500 (S$804) daripada seorang individu sebagai upah untuk melepaskan kontena yang membawa daging sejuk beku milik Syarikat ZS Armin Sdn Bhd dari negara yang tidak diiktiraf Jabatan Veterinar di sebuah restoran di sini pada Disember 2016.

Nor Azlan berdepan lima pertuduhan menerima suapan bernilai RM37,000 (S$12,055) berhubung perkara sama di sebuah restoran di sini antara Februari hingga April 2017.  

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 (S$3,215) mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Abdul Latif pula didakwa atas dua pertuduhan mengemukakan dokumen yang mempunyai butiran palsu pada 5 Okt 2020 dan 9 Nov 2020 bagi mengelirukan pihak berkuasa. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai matan yang palsu atau silap atau RM10,000 (S$3,215) mengikut mana lebih tinggi.

Abdul Latif juga berdepan dua pertuduhan pilihan iaitu mengemukakan dokumen palsu pada 5 Okt 2020 dan 9 Nov 2020 mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Nor Azlan pula berdepan lima pertuduhan menerima suapan bernilai RM37,000 (S$11,890)berhubung perkara sama di sebuah restoran di sini antara Februari hingga April 2017.  

Dia didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM dan boleh dihukum mengikut Seksyen 25(2) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM100,000 (S$32,100) atau atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

Mohd Hafizan, yang diwakili peguam Mohd Razak Sharif, dan Nor Azlan, yang diwakili peguam Peter Tan, masing-masing dibenarkan ikat jamin sebanyak RM7,000 (S$2,250) dengan seorang penjamin.

Abdul Latif, yang diwakili  peguam S.Vijaya, pula dibenarkan ikat jamin RM8,000 (S$2,570) dengan seorang penjamin serta pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah turut mengarahkan Mohammad Sofyan melantik peguam serta membenarkan dia diikat jamin RM5,000 (S$1,600) dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Suhaili Sapun. 

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan