Skip to main content

Dunia

Kapal pesiaran terjejas hantavirus dijadual tiba di pelabuhan Rotterdam sebagai destinasi akhir

Kapal pesiaran MV Hondius yang terjejas hantavirus dijadual berlabuh di Rotterdam pada pagi Isnin (18 Mei) untuk proses pembasmian kuman, sedang pihak berkuasa Belanda menyediakan aturan kuarantin bagi 25 anak kapal dan dua kakitangan perubatan yang masih berada di atas kapal itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Kapal pesiaran terjejas hantavirus dijadual tiba di pelabuhan Rotterdam sebagai destinasi akhir

Kapal pesiaran MV Hondius, yang terjejas akibat jangkitan hantavirus, meninggalkan pelabuhan Granadilla de Abona di Tenerife, Sepanyol, pada 11 Mei 2026. (Gambar fail: REUTERS/Hannah McKay)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 18 May 2026 10:56AM
ROTTERDAM: Kapal pesiaran MV Hondius yang terjejas hantavirus dijadual berlabuh di Rotterdam pada pagi Isnin (18 Mei) untuk proses pembasmian kuman, sedang pihak berkuasa Belanda menyediakan aturan kuarantin bagi 25 anak kapal dan dua kakitangan perubatan yang masih berada di atas kapal itu.

Pihak berkuasa tempatan menyatakan kemudahan kuarantin sudah disediakan bagi sebahagian daripada anak kapal bukan warga Belanda, namun masih belum jelas sama ada mereka akan ditempatkan di situ sepanjang tempoh kuarantin yang disyorkan selama 42 hari.

Kapal pesiaran mewah berdaftar Belanda itu membawa sekitar 150 penumpang dan anak kapal dari 23 negara sebelum beberapa kes penyakit pernafasan serius dalam kalangan penumpang dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2 Mei.

Tiga individu - pasangan warga Belanda dan seorang warga Jerman - meninggal dunia sejak jangkitan hantavirus itu bermula.

BUKAN SEPERTI COVID-19, MENURUT WHO

Kapal yang dikendalikan Oceanwide Expeditions itu sebelum ini terkandas di luar pesisir Cape Verde, destinasi terakhir yang dirancangnya, awal bulan ini selepas pihak berkuasa melarang penumpangnya daripada turun ke darat akibat jangkitan tersebut.

WHO dan Kesatuan Eropah (EU) meminta Sepanyol untuk menguruskan operasi pemindahan di Kepulauan Canary.

Kapal tersebut kemudian berlepas ke Rotterdam dengan hanya beberapa anak kapal, bersama dua orang kakitangan perubatan tambahan.

Hantavirus lazimnya merebak menerusi tikus, namun dalam kes yang jarang berlaku ia boleh menjadi tular antara manusia menyusuli kontak rapat dan berpanjangan.

Tempoh inkubasinya boleh mencecah sekitar enam minggu.

Anak-anak kapal dan penumpang yang sudah meninggalkan kapal itu dan individu yang mempunyai kontak dengan mereka kini menjalani kuarantin di beberapa negara di seluruh dunia.

Jangkitan itu melibatkan virus Andes yang boleh didapati di Argentina dan Chile sejak beberapa dekad lalu.

Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah menyatakan sampel dari kapal itu tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara pada virus berkenaan.

Pada Jumaat, WHO menyemak semula jumlah kes kepada 10 daripada 11 selepas satu kes di Amerika Syarikat yang sebelum ini tidak dapat dipastikan didapati negatif.

Setakat sehingga 15 Mei, WHO melaporkan sebanyak 10 kes - lapan daripadanya merupakan kes yang sudah disahkan manakala dua lagi merupakan kes yang berpotensi - termasuk tiga kematian.

Pemerintah British Columbia menyatakan pada Sabtu bahawa seorang warga Kanada yang merupakan penumpang Hondius turut diuji positif hantavirus.

WHO menyatakan pada Ahad bahawa ia sedang menunggu kemas kini rasmi, namun perkara itu akan meningkatkan jumlah kes kepada 11.

WHO sebelum ini menyatakan lebih banyak kes dijangka muncul daripada jangkitan itu, namun menegaskan keadaan tersebut tidak seperti COVID-19 dan tidak dianggap sebagai pandemik.

Disebabkan tempoh inkubasi yang panjang, pencarian kes baharu mungkin berterusan selama beberapa bulan, sekali gus menguji pendekatan komunikasi pihak berkuasa pasca COVID-19.

WHO mengesyorkan supaya kontak berisiko tinggi dipantau dan menjalani kuarantin selama 42 hari selepas pendedahan, manakala kontak berisiko rendah dinasihatkan supaya memantau diri sendiri dan mendapatkan rawatan jika mengalami gejala.
Sumber : Reuters/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita